SUNGAI PETANI: Dua remaja lelaki mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar sebuah kolej vokasional di sini, bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh berusia 16 dan 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri yang bersidang di Mahkamah Kanak-Kanak, hari ini.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mendatangkan kecederaan ke atas pelajar lelaki berusia 17 tahun di asrama sebuah kolej vokasional di daerah Kuala Muda kira-kira pukul 12.04 tengah malam, 24 November lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md. Nor sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farah Azlinda Zahari.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 25 Disember ini bagi mendapatkan status laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar lelaki sebuah kolej vokasional di sini ditemui pengsan dan mengalami kecederaan lebam pada badan dipercayai akibat dibelasah empat rakan kolej.
Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tandas sekolah oleh seorang guru yang kemudian menghantarnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. – UTUSAN










