Polis siasat Yang Dipertua PIBG, klinik swasta berkumpul beri bantuan - Utusan Malaysia

Polis siasat Yang Dipertua PIBG, klinik swasta berkumpul beri bantuan

WARI KIEW menunjukkan gambar orang ramai berhimpun untuk mendapatkan bantuan anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah rendah dan sebuah klinik swasta di Kangar di Jalan Kampung Bakau dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis Kangar membuka kertas siasatan terhadap Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah rendah dan sebuah klinik swasta di sini yang menganjurkan program bantuan barangan makanan melibatkan perhimpunan orang ramai di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, Jalan Kampung Bakau di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, program yang dipercayai bermula dari pukul 8.45 pagi hingga 9.30 pagi itu telah menyebabkan orang ramai berhimpun antara 80 hingga 100 orang dalam satu-satu masa.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai gangguan trafik di jalan tersebut dan bergegas ke lokasi berkenaan.

“Setibanya di sana, kami dapati orang sudah tidak begitu ramai berbanding dalam gambar yang kami terima. Saya ingin tegaskan bahawa sebarang program yang boleh menyebabkan orang ramai berkumpul dan tidak ada penjarakan fizikal adalah sama sekali tidak dibenarkan.

“Ini adalah merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertarikh 9 Julai 2021 yang mana apa-apa sahaja yang boleh menyebabkan orang ramai berkumpul dan menyukarkan penjarakan fizikal serta pematuhan arahan Ketua Pengarah Kesihatan adalah satu kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, polis ada menerima surat permohonan daripada penganjur untuk mengadakan aktiviti terbabit pada pukul 10 pagi semalam, bagaimanapun, pihaknya sudah menolak permohonan tersebut serta merta.

“Kami terima permohonan daripada mereka, jadi saya terus balas bahawa permohonan itu tidak dibenarkan secara faks. Jadi saya pun tidak tahu sama ada mereka ada menerima faks tersebut atau pun gagal memahaminya.

“Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana ia sudahpun ada dalam SOP MKN yang boleh diakses oleh semua pihak. Sebelum ini, ada juga pihak lain yang memohon untuk menganjur acara yang sama tapi kami menolak kerana sememangnya tidak boleh diadakan aktiviti berhimpun yang dikhuatiri  boleh mendedahkan orang ramai terhadap risiko jangkitan Covid-19.

“Sebaliknya, mereka boleh menghubungi wakil masyarakat atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri supaya sumbangan ini boleh disumbangkan secara terus kepada golongan yang memerlukan tanpa ada perhimpunan,” ujarnya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit di bawah kawalan tetapan pindaan 28 Jun 2021.

“Jika disabit kesalahan individu terlibat boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya,

“Kes ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) sama ada akan dituduh di mahkamah ataupun dikompaun,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN