PETALING JAYA: Pas menyambut baik cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh untuk mewujudkan semula Muafakat Nasional (MN) jika UMNO mengisytiharkan keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau sangat setuju dengan cadangan menghidupkan semula Muafakat Nasional yang dilontarkan Dr. Akmal hari ini.
Katanya, Muafakat Nasional adalah kunci kekuatan dan kebangkitan semula Perpaduan Ummah di negara ini.
“Tahniah Ketua Pemuda UMNO. Hidupkan kembali rundingan, tubuh Jawatankuasa Perunding. Sebaik sahaja UMNO dan Barisan Nasional (BN) isytihar keluar dari gabungan bersama PH.
“Kita lancarkan terus Muafakat Nasional,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Dr. Akmal memuatnaik hantaran di Facebook miliknya mengenai cadangan mewujudkan semula Muafakat Nasional susulan kemelut politik yang melanda di Perlis membabitkan dua sekutu iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), UMNO sudah mengingatkan Pas supaya memperkasakan Muafakat Nasional bukannya Perikatan Nasional (PN).
“Hari ini baru nampak belang masing-masing, kena tikam belakang.
“Alang-alang bubar sekalilah Perikatan Nasional, kita wujudkan semula Muafakat Nasional, apa macam?,” katanya.
Kemelut politik kini melanda PN di Perlis susulan tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan tiga ADUN Pas mempersembahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis yang menyatakan mereka hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Susulan tindakan itu, Pas menghentikan keahlian tiga ADUN tersebut iaitu ADUN Chuping, Saad Seman, Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd. Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji) serta merta.-UTUSAN










