Polis marin rampas 183,800 batang rokok seludup - Utusan Malaysia

Polis marin rampas 183,800 batang rokok seludup

ANTARA rokok dan minuman keras yang dirampas PPM selepas menahan seorang lelaki di sebuah premis di Jalan 3/1, Taman Kempas, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 183,800 batang rokok dan lapan karton minuman keras pelbagai jenama bernilai RM141,768 termasuk cukai kastam di sebuah premis di Jalan 3/1, Taman Kempas, di sini petang semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu, polis turut menahan seorang suspek berusia 30 tahun.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat penyeludupan kontraban, sepasukan pegawai dan anggota PPM Wilayah Dua telah membuat pemantauan di lorong belakang jalan tersebut.

Katanya, setelah hampir tiga jam menunggu, muncul seorang lelaki dewasa tempatan sedang memunggah sebuah kotak berwarna coklat di bahagian belakang but kenderaan Perodua Alza ke dalam premis sebelum bertindak menahannya.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas kenderaan itu, pasukan serbuan menjumpai beberapa karton arak di tempat duduk belakang kereta itu, pemeriksaan lanjut menjumpai sejumlah kotak berwarna coklat disyaki rokok yang diletakkan di dalam stor belakang premis tersebut.

“Setelah pemeriksaan terperinci dijalankan, didapati bahawa kesemua rokok terbabit disyaki tidak bercukai kastam dan ingin diseludup ke pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhd. Zailani berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah kenderaan berserta nilai cukai rokok adalah sebanyak RM181,766.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek lelaki tersebut dipercayai terlibat dengan pengedaran rokok berkenaan dan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya