SHAH ALAM: Lima majikan, enam pekerja dan dua individu dikenakan kompaun selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam Operasi (Op) Patuh, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, sebanyak 49 pemantauan dibuat semalam menerusi Op Patuh yang berlangsung tiga hari bermula kelmarin.
“Setiap majikan dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 bagi kesalahan membenarkan kehadiran pekerja melebihi jumlah 60 peratus yang dibenarkan, beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa kebenaran, gagal mendaftar nama pekerja dan beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Sementara enam pekerja pula dikompaun sebanyak RM2,000 bagi setiap orang yang melakukan kesalahan seperti tidak mengimbas aplikasi MySejahtera ketika berada di tempat kerja dan makan dekat kafeteria,” katanya.
Dalam operasi itu juga, sebanyak empat premis termasuk dua bengkel kenderaan dan kilang di Seksyen 16 dan Bukit Jelutong diarahkan tutup serta merta.
Op Patuh yang berlangsung itu melibatkan kerjasama daripada MITI, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Bandaraya Shah Alam.
Dalam pada itu, Ramsay menambah, pengusaha atau pengurus premis perindustrian dan perniagaan perlu peka dengan pengumuman SOP terkini yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, dalam pemeriksaan semalam, terdapat kilang dan bengkel kenderaan mendakwa beroperasi ketika PKPD berdasarkan kebenaran menerusi surat yang dikeluarkan MITI dan pengumuman daripada KPDNHEP.
“Kita perlu rujuk kepada MITI dan MKN, sekiranya dibenarkan beroperasi maka polis tidak akan mengenakan sebarang tindakan kecuali melanggar SOP. Kita akan merujuk kepada kebenaran dan arahan daripada MITI dan MKN yang terkini.
“Kita harap supaya pihak majikan dan pekerja patuhi saranan kerajaan supaya kita sama-sama membendung penularan wabak Covid-19, jangan ada pihak cuba mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh dengan beroperasi secara sembunyi-sembunyi,” jelasnya.
Beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada polis jika mendapati majikan bukan sektor perlu masih memaksa pekerja datang bekerja dan melanggar SOP PKPD.
Sebanyak 38 kawasan dalam lapan daerah di Selangor dan 14 kawasan di Kuala Lumpur dikenakan PKPD selama 14 hari sehingga 16 Julai ini berikutan kes harian Covid-19 membimbangkan. – UTUSAN ONLINE










