LANGKAWI di Kedah dikenal sebagai destinasi pelancongan unggul dengan pantai putih memukau, mercu tanda ikonik dan status pulau bebas cukai yang mengangkat namanya ke pentas dunia.
Di sebalik semua itu, wujud lokasi berdekatan yang mampu menyaingi Langkawi, namun jarang diberi perhatian iaitu Pulau Tuba.
Terletak tidak jauh dari jeti utama di Kuah, Pulau Tuba seakan dunia berbeza yang jauh daripada hiruk-pikuk pelancongan komersial, seolah-olah terpinggir dari arus pembangunan Langkawi.
Keunikan Pulau Tuba kian mendapat perhatian, sekali gus membongkar pesona tersembunyi tempat itu.
Pulau Tuba menawarkan pengalaman lebih tenang, asli dan dekat dengan kehidupan masyarakat tempatan. Ia bukan destinasi untuk mereka yang mencari kemewahan hotel lima bintang atau premis beli-belah tetapi syurga buat pencinta alam, pengkaji budaya dan pelancong yang ingin merasai kehidupan perkampungan Melayu yang masih utuh.
Keindahan alam Pulau Tuba terserlah melalui landskap bukit-bukau yang menghijau, hutan paya bakau yang kaya dengan biodiversiti serta perairan yang masih terpelihara. Pelbagai aktiviti di sana memberikan pengalaman yang sukar diperoleh di destinasi pelancongan arus perdana.
Lebih menarik, Pulau Tuba juga dikenali sebagai antara kawasan yang masih mengekalkan tradisi dan warisan lama. Penduduknya yang majoriti nelayan dan petani menjalani kehidupan sederhana, namun penuh dengan nilai kemasyarakatan tinggi.
SEJARAH PULAU TUBA

Secara geografi, Pulau Tuba merangkumi kawasan seluas 18 kilometer (km) persegi yang didiami kira-kira 5,000 penduduk. Ini menjadikan ia pulau berpenduduk terbesar selepas pulau utama Langkawi. Akses ke sana hanya 20 minit dengan menaiki bot tambang dari Langkawi.
Kini kurang separuh daripadanya masih bergelar nelayan. Kebanyakan nelayan ialah golongan berusia kerana anak muda rata-ratanya beralih kerja termasuk menjadi pengusaha pelancongan, peniaga kecil-kecilan dan pengusaha produk hiliran.
Sejarah merakamkan bahawa ia dihuni ratusan tahun lalu oleh orang Melayu yang membuka kampung, meneroka tanah dan membina kehidupan berasaskan laut serta pertanian kecil-kecilan. Ia mendapat nama daripada pokok tuba yang tumbuh melata, menjadi identiti alamnya suatu ketika dahulu.
Sebanyak tujuh buah kampung membentuk Pulau Tuba iaitu Kampung Pulau Tuba, Telok Bujur, Lubok Etok, Telok Berembang, Lubuk Chempedak, Bagan Asam dan Bagan Pauh.
Garis pantai sepanjang hampir 22km meliputi pelbagai rupa bumi dari pantai landai ke kawasan berbatu, paya bakau dan hutan rendah. Ekologi yang pelbagai ini menjadi habitat flora dan fauna, menguatkan potensi ekopelancongan yang semakin mendapat perhatian.
TRANSFORMASI PULAU TUBA

Kehidupan di Pulau Tuba suatu ketika dahulu bergerak perlahan. Ia sering digambarkan sebagai perkampungan nelayan yang sunyi, ditemani laut tenang dan deretan rumah kayu tradisional di pesisir pantai.
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) membelanjakan kira-kira RM2.5 juta untuk melaksanakan 13 projek infrastruktur dan ekonomi komuniti di Pulau Tuba sejak 2024 termasuk pemasangan lampu solar, telaga tiub, papan tanda jalan dan naik taraf kemudahan awam seperti balai raya serta tandas.
Dalam kalangan komuniti setempat seramai 5,000 orang itu, masih ada yang mengingati bagaimana penempatan itu bermula.
Menurut Mohd. Senafi Ishak, 69, ekonomi Pulau Tuba kini bukan lagi perkampungan tradisi yang mana penduduknya turun ke laut untuk menangkap ikan.
Katanya, ramai anak muda memilih untuk berhijrah ke Langkawi atau ke tanah besar bagi mencari kehidupan yang lebih selesa berbanding bergelar nelayan atau melakukan pertanian berskala kecil.
Warga emas itu berkata, terdapat juga penduduk yang sudah berjaya dalam bidang keusahawanan dan pelancongan seperti mengusahakan perniagaan keropok lekor serta chalet dan resort, di samping penyedia perkhidmatan kereta, motosikal dan van sewa
“Ini sangat membantu dalam membangunkan ekonomi Pulau Tuba kerana semua sedia maklum pekerjaan sebagai nelayan tidak menjanjikan pulangan tetap apatah lagi lumayan, sebab itu ramai anak muda berhijrah ke luar,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mohd. Senafi mengakui, pemodenan tidak dapat dielak sekiranya mahu menjamin masa depan lebih baik dan dia menyaksikan sendiri aktiviti sokongan yang wujud memberi impak positif terhadap kehidupan masyarakat.
“Dahulu penduduk menanam padi, memelihara kerbau dalam kuantiti yang banyak kerana ada padang luas tempat kerbau berkubang atau bercucuk tanam di ladang untuk mereka menjana pendapatan keluarga, tetapi pekerjaan itu semuanya semakin mengecil.
“Meskipun mengecil, suasana kampung yang dipaparkan dengan kerbau masih berkeliaran, telaga tradisi dan ternakan ayam serta itik itulah yang menarik kedatangan pelancong untuk berkunjung ke tempat kami,” katanya.
Katanya, daripada aspek infrastruktur, Pulau Tuba dilengkapi tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tuba, SK Lubuk Chempedak serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi, selain kemudahan masjid.
KEMUDAHAN PELANCONGAN

Ketiadaan hotel mewah mahupun hotel bajet membuka peluang kepada penduduk tempatan mengusahakan inap desa bagi menawarkan kemudahan pelancongan kepada pengunjung yang singgah.
Ketika ini, terdapat hampir 40 unit inap desa untuk menerima tetamu yang mahu bermalam di pulau berkenaan, di samping kemudahan chalet atau resort.
Pengerusi Persatuan Homestay Pulau Tuba, Rosli Ahmad berkata, pengunjung boleh memilih untuk menginap di inap desa bersama keluarga nelayan bagi menikmati suasana asli perkampungan laut.
“Pelancong juga kini lebih mudah menerokai keindahan Pulau Tuba dengan adanya perkhidmatan sewaan motosikal, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) serta buggy.
“Manakala untuk akses ke sini dari Pulau Langkawi, pengunjung boleh menaiki bot yang disediakan dari Jeti Pelancongan Pekan Rabu atau Jeti Datuk Syed Omar yang dikenali juga Jetty Marble dalam kalangan penduduk tempatan,” ujarnya.
Pengurus Pemasaran Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Bhd. (BESTUBA), Siti Nurul Norzahera Che Mohd. Zaher berkata, wajah baharu Pulau Tuba dengan pelbagai ruang santai dibangunkan melalui pelbagai inisiatif dilaksanakan.
Katanya, peningkatan jumlah pelancong amat memberangsangkan yang mana jumlah pelancong dibawa masuk antara 6,000 hingga 7,000 sebulan dengan peningkatan ketara pada musim cuti sekolah dan hujung minggu.
“Hari bekerja, kemasukan pelancong agak perlahan disebabkan ramai masih bertugas. Menjelang hujung minggu, suasana di jeti dan kampung bertukar meriah,” katanya. – UTUSAN










