JOHOR BAHRU: Pengusaha butik pengantin, Sahizan Yaacob alami kerugian lebih RM100,000 kerana terpaksa memulang semula deposit yang dibayar pelanggan yang membatalkan tempahan perkhidmatannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Pemilik Izan Yacob Bridal House itu berkata, lebih buruk apabila dia pula sudah membuat tempahan dengan pihak pembekal bagi memenuhi tempahan pelanggan seperti aksesori, bahan gubahan dan sebagainya.
Malah katanya, yang sudah membuka cawangan butik pengantin, dia terpaksa mengambil keputusan berat untuk menutup cawangan tersebut bagi mengelak kerugian yang lebih besar.
“Sejak PKP dilaksana, perniagaan saya langsung tak jalan dan tempahan yang dibuat pelanggan sedia ada pula terpaksa dibatalkan. Oleh kerana tidak mahu timbul isu dengan pelanggan, mahu tidak mahu terpaksa memulangkan semula deposit penuh dengan pelanggan.
“Barangan stok sedia ada seperti tempahan bunga, barangan dekorasi dan aksesori lain kebanyakannya rosak. Di butik pula, terdapat lebih 1,000 pasang baju pengantin yang tersedia tidak digunakan.
“Jika dahulunya saya mampu menjana pendapatan kasar kira-kira RM18,000 seminggu, kini hasil perniagaan saya kosong terus,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, Sahizan menarik nafas lega kerana membuat keputusan tepat untuk tidak membuat pinjaman bank atau berhutang ketika memulakan bisnes itu sejak 20 tahun lalu.
Bagi meneruskan kelangsungan hidup, dia menjalankan perniagaan makanan dan mengambil tempahan memasak secara kecil-kecilan sejak awal tahun ini.
“Hasil jualan masakan ini tidaklah sebesar mana, hanya cukup-cukup untuk membayar sewa dan menyara keluarga.
“Saya berharap pihak kerajaan dapat tampil dengan kaedah dan inisiatif yang lebih baik untuk membantu peniaga seperti saya ini. Kami tidak mengharapkan bantuan semata-mata sebaliknya ruang untuk kembali beroperasi.
“Namun, dengan jumlah kes Covid-19 yang terus meningkat hingga lebih lima angka kes positif pada hari ini, saya tak nampak ada cahaya di hujung terowong buat pengusaha butik pengantin,” ujarnya. – UTUSAN