Pidato TYT Melaka perkenal kategori bukan Melayu

Pidato TYT Melaka perkenal kategori bukan Melayu

AR. ISMAIL Othman (kiri) dan Noor Effandi Ahmad menunjukkan poster pertandingan ketika sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kategori bukan Melayu yang dipertandingkan buat kali pertama tahun ini merupakan antara kelainan ditampilkan pada Pertandingan Pidato Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ar. Ismail Othman berkata, ia bakal memberi cabaran tersendiri kepada peserta bukan Melayu dalam memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan.

Menurut beliau, pengenalan kategori baharu tersebut diharap dapat menarik lebih ramai penyertaan terutamanya belia bukan Melayu di seluruh negara.

“Saya yakin penyertaan akan meningkat menjelang tarikh tutup penyertaan pada 31 Julai ini.

“Penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan orang bukan Melayu tiada masalah dan kita perlu pergiatkan lagi bahasa kebangsaan ini supaya boleh dimartabat dan digunakan dalam semua sektor,” katanya dalam sidang akhbar Pertandingan Pidato Piala TYT Yang Dipertua Negeri Melaka di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Pengerusi Jawatankuasa Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan), Datuk Noor Effandi Ahmad.

Sementara itu, mengenai bilangan penyertaan, Noor Effandi berkata, penganjuran pidato yang memasuki tahun kedua itu menyasarkan pertambahan peserta sehingga empat kali ganda berbanding sebelumnya.

“Sebanyak 300 penyertaan telah diterima pada tahun lepas untuk negeri ini sahaja dan menjelang tarikh akhir nanti mampu mencapai tiga atau empat kali ganda.

“Hadiah yang ditawarkan juga sangat menarik seperti piala pusingan, wang tunai sehingga RM5,000, koleksi buku dan sijil penyertaan,” katanya.

Lima kategori akan dipertandingkan iaitu awam, institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah menengah, sekolah rendah dan bukan Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN