LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menganggap Persidangan Khas Parlimen yang diadakan selama lima hari mulai 26 Julai adalah acara taklimat kerajaan dalam Dewan Parlimen.
Menurut beliau, Persidangan Khas Parlimen itu juga sebenarnya tidak ada makna kerana tiada sesi pembentangan usul dan perbahasan dibenarkan seperti dalam aturan persidangan tersebut.
Katanya, pada persidangan kali ini, ahli Parlimen hanya dibenarkan bertanya sahaja dan tidak boleh dibahaskan.
“Ini bukan Sidang Parlimen, ini adalah acara taklimat kerajaan dalam Dewan Parlimen,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi penyerahan bakul permai kepada wakil komuniti di Pusat Khidmat Ahli Parlimen di sini hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, Ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang tidak akan dihalang jika mahu mengemukakan sebarang pertanyaan.
Menurutnya, pada persidangan itu tiada sebarang usul dan perbahasan, namun sekiranya ada cadangan atau pertanyaan boleh kemuka pada sesi soal jawab.
Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, Persidangan Parlimen kali ini bukan nak tentukan lulus atau tidak lulus tetapi taklimat mengenai Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.
“Sebaliknya, Persidangan Penuh Dewan Rakyat pada 6 September depan baru dianggap sebagai persidangan yang sebenarnya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











