Permohonan Syed Saddiq hanya agihan dari rumah ke rumah, bukan di Pejabat Parlimen - Utusan Malaysia

Permohonan Syed Saddiq hanya agihan dari rumah ke rumah, bukan di Pejabat Parlimen

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hanya membuat permohonan untuk melakukan agihan barangan keperluan dari rumah ke rumah,  bukannya secara berpusat di Pejabat Parlimen Muar.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan untuk menghentikan program serahan bantuan di pejabat berkenaan dibuat oleh Pejabat Kesihatan Daerah Muar.

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY

Jelas beliau, arahan itu dibuat kerana pegawai kesihatan melihat program yang dihadiri seramai lebih 100 orang itu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

“Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menjalankan aktiviti bantuan memang dibenarkan tetapi perlu mendapat kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah.

“Saya difahamkan permohonan ada dibuat, tetapi permohonan itu untuk mengedarkan bakul makanan dari rumah ke rumah, tetapi apa yang berlaku adalah pengedaran barangan dibuat di Pusat Khidmat Parlimen Muar.

“Jadi ramai yang berkumpul. Pertama mereka tidak mempunyai kebenaran untuk mengadakan program sedemikian di pusat itu. Kedua tiada penjarakan sosial,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Tambah Ayob Khan, ekoran itu, penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah Muar  mengarahkan program itu dihentikan.

“Jadi saya mohon mana-mana wakil rakyat yang mahu lakukan program, sila ikut SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), mohon kebenaran PKOB, barulah dapat dibuat kawalan dan sebagainya.

“Susulan daripada itu, pihak berkuasa hanya mengeluarkan amaran kepada pihak terlibat dan tiada sebarang kompaun yang dikeluarkan,” ujarnya.

Terdahulu, Syed Saddiq dalam laman Facebooknya memberitahu, Pejabat Parlimen Muar telah diarahkan tutup oleh pihak berkuasa bermula hari ini.

Beliau memberitahu tidak sampai hati menolak kehadiran masyarakat Muar yang memohon bantuan kerana itu merupakan tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.

“Saya tidak boleh dan tak akan sesekali halang rakyat Parlimen Muar untuk datang ke pejabat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya