Perlukah wujud privy council? - Utusan Malaysia

Perlukah wujud privy council?

ABDUL HAMID MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tun Abdul Hamid Mohamad tidak bersetuju cadangan mewujudkan ‘privy council’ sekiranya dibuat atas alasan untuk menentang Peguam Negara.

Kata bekas Ketua Hakim Negara itu, Peguam Negara adalah penasihat undang-undang Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Kabinet serta kerajaan.

Menurut beliau, demikian peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri atau Kabinet dan Peguam Negara berada di pihak yang sama.

“Nasihat yang diberi mengenai sesuatu isu adalah nasihat undang-undang. Nasihat yang diberi kepada Perdana Menteri, Kabinet dan Yang di-Pertuan Agong semestinyalah nasihat yang sama.

“Takkanlah untuk mengambil hati Perdana Menteri, Peguam Negara akan memberi nasihat yang berlainan kepada Perdana Menteri dan untuk mengambil hati Agong, beliau akan memberi nasihat yang berlainan kepada Seri Paduka.

“Oleh sebab Peguam Negara memberi nasihat yang sama, di manakah akan timbul conflict of interest?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pandangan Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini bahawa Agong memerlukan privacy council untuk menentang Peguam Negara kepada satu portal baru-baru ini.

Mohd. Annuar dilapor berkata Seri Paduka patut mempunyai satu penasihat bebas seperti privy council kerana Peguam Negara sering membawa pandangan pemerintah.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata tiada masalah jika Yang di-Pertuan Agong hendak mendapat pandangan undang-undang mengenai sesuatu isu daripada seseorang selain Peguam Negara.

Sebaliknya kata beliau sama ada terdapat keperluan untuk mengadakan sebuah privy council seperti di United Kingdom (UK) adalah satu perkara lain.

“Tiga daripada lima orang Penggubal Perlembagaan Persekutuan adalah hakim-hakim kanan UK yang arif mengenai fungsi privy council UK telah tidak memilih untuk menubuh sebuah privy council untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong.

“Sebaliknya mereka memilih Peguam Negara untuk memberi nasihat undang-undang kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

“Mereka tentu tahu apa yang mereka lakukan dan ia telah berjalan dengan baik selama lebih setengah abad,” katanya.

Abdul Hamid memberitahu perkara itu berbangkit ekoran tindakan pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak bersetuju dengan pandangan yang diberikan Peguam Negara dalam dua perkara iaitu darurat dan pemanggilan persidangan Parlimen.

Beliau menjelaskan sikap berkenaan menyebabkan isu diperbesarkan sekali gus meletakkan Yang di-Pertuan Agong di satu pihak lain manakala Perdana Menteri  dan Peguam Negara di satu pihak lain seolah-olah hendak melaga-lagakan mereka.

“Pada hal dua perkara yang dikatakan menimbulkan isu itu pun tidak menjadi isu lagi. Darurat masih berkuatkuasa dan persidangan Parlimen telah dipanggil,” katanya.

Beliau menambah tindakan itu seolah-olah merendahkan kredibiliti Peguam Negara dengan menggambarkannya sebagai senentiasa mengangguk kepada Perdana Menteri mengenai isu undang-undang.

“Pakar-pakar undang-undang yang bercakap sambil bersembunyi itu eloklah keluar ke hadapan dan mengemukakan cadangan bertulis mereka disokong dengan hujah-hujah mereka supaya kita sama-sama dapat mengkajinya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN