Perkeso komited bantu rakyat menerusi subsidi upah, peluang pekerjaan - Utusan Malaysia

Perkeso komited bantu rakyat menerusi subsidi upah, peluang pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) komited melaksana dan menjayakan inisiatif-inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) menerusi program subsidi upah dan peluang pekerjaan.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya mengambil kira kebajikan golongan majikan dan pekerja yang terkesan dari segi ekonomi akibat penularan Covid-19, termasuk mereka yang bekerja sendiri dengan menyalurkan bantuan kerajaan kepada kumpulan sasaran dengan segera.

Justeru, katanya, program subsidi upah 4.0 diperkenal dan dijenamakan sebagai PSU 4.0 yang akan dilaksanakan dalam tempoh empat bulan bermula 1 Ogos ini, setelah permohonan untuk PSU 3.0 ditutup pada 31 Julai ini.

“PSU 4.0 terus membantu golongan majikan dalam kesinambungan perniagaan dengan mengekalkan pekerja mereka, ketika kebanyakan sektor ekonomi masih diarahkan ditutup.

“Dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion, PSU 4.0 akan disalurkan kepada majikan yang layak dan terhad kepada 500 orang pekerja bagi setiap perusahaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

PSU 4.0 menyaksikan kadar RM600 untuk setiap pekerja dikekalkan dan terbuka kepada semua sektor ekonomi untuk dua bulan pertama, manakala dua bulan seterusnya adalah khusus bagi sektor-sektor dalam kategori senarai negatif.

Mohammed Azman berkata, syarat permohonan subsidi juga telah ditambah baik di mana tiada had gaji pekerja ditetapkan untuk PSU 4.0 berbanding had gaji RM4,000 ke bawah dalam bantuan PSU sebelum ini, dengan majikan disyaratkan untuk memasukkan maklumat subsidi ke dalam slip gaji pekerja.

“Perkeso positif lanjutan PSU ini akan menepati sasaran 242,000 majikan, meliputi lebih daripada 2.5 juta pekerja di seluruh negara,” katanya.

Majikan boleh membuat permohonan PSU 4.0 mulai 1 Ogos sehingga 31 Oktober 2021 dengan mengemukakan permohonan menerusi pautan https://prihatin.perkeso.gov.my.

Dari segi peluang pekerjaan, Mohammed Azman berkata PenjanaKerjaya 3.0 diperkenalkan sebagai lanjutan kepada program PenjanaKerjaya 2.0 untuk meneruskan usaha mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan pengangguran dalam kalangan pekerja tempatan.

Beliau berkata, insentif ditambah baik dengan merendahkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,200 sebulan untuk semua kumpulan pekerja yang digajikan bagi jawatan yang kebiasaannya diisi oleh pekerja asing.

“Tempoh kontrak penggajian bagi semua kategori insentif juga dikurangkan daripada 12 bulan kepada enam bulan bagi kumpulan pencari kerja berumur 50 tahun ke atas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan bekas banduan.

“Di bawah PenjanaKerjaya 3.0 juga, insentif KerjayaGig memperluas skop pengambilan pekerja meliputi pekerjaan gig ataupun sementara, serta dibuka kepada golongan penganggur tegar, iaitu mereka yang menganggur lebih daripada 180 hari,” katanya.

Di samping itu, insentif penempatan pekerjaan untuk Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang menyokong usaha pencarian pekerjaan juga ditambah baik di mana insentif sedia ada diperluaskan kepada kategori pekerja berkemahiran rendah dengan gaji di bawah RM3,000 sebulan dan bagi yang berjaya membantu pekerja kategori ini mendapatkan pekerjaan, mereka akan menerima insentif RM100 bagi setiap penempatan.

Permohonan bagi program PenjanaKerjaya 3.0 ini akan dibuka mulai 15 Julai sehingga 31 Disember 2021 dan dijangka akan menjana sebanyak 180,000 penempatan pekerjaan sehingga akhir tahun ini. 

Pada masa sama, Mohammed Azman berkata, bantuan kewangan SIP Prihatin menerusi Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) turut diperluaskan kepada golongan bukan pencarum Perkeso termasuk graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal.

Malah, katanya, Perkeso menyasarkan seramai 229,000 pencari kerja akan mendapat manfaat daripada bantuan ini dan pendaftaran akan bermula pada 15 Julai ini.

Katanya lagi, mereka perlu mendaftar terlebih dahulu di portal pekerjaan MYFutureJobs yang diuruskan Perkeso agar usaha pencarian pekerjaan mereka dapat dibantu dan dipantau oleh Perkeso.

“Pencari kerja juga perlu menghadiri sekurang-kurangnya tiga temuduga dalam sebulan, sama ada secara fizikal atau dalam talian bagi melayakkan mereka menerima insentif EMP sebanyak RM300 sebulan selama tempoh dua bulan.

“Sekiranya pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan melalui portal MYFutureJobs, insentif tambahan sebanyak RM400 akan diberikan kepada mereka,” katanya.

Soalan-soalan lazim (FAQ) bagi setiap inisiatif di bawah Pemulih akan dimuat naik ke laman web dan media sosial rasmi Perkeso dalam masa terdekat.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Careline PERKESO 1300-22-8000 atau layari laman web PERKESO di www.perkeso.gov.my. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya