PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet Rabu lalu bersetuju menubuhkan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) bagi memperkasa lagi golongan penggiat seni hiburan itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keputusan dicapai sebulat suara dengan mengambil kira pelbagai kejayaan muzik tanah air diraih selama ini.
“Justeru, kita perlu ada ekosistem teratur agar rekod pencapaian pemain industri itu boleh dilipatgandakan lagi kerana sebelum ini tiada agensi khusus di peringkat nasional,” katanya
Dalam sidang akhbar selepas sesi ramah mesra dengan sekumpulan 11 penerima Dana Industri Muzik Program Hiburan Dari Rumah (HDR) secara maya hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PIMM dalam masa terdekat akan diterajui ketua pegawai eksekutif interim dengan ahli lembaga pengarah yang mewakili pelbagai pihak berkepentingan.
“Ia berperanan dalam merangka hala tuju tiga ekosistem muzik negara iaitu penghasilan produk, persembahan pengkarya dan proses pendidikan seni berkenaan,” katanya. – UTUSA ONLINE










