SEREMBAN: Golongan penternak di Negeri Sembilan meminta supaya pihak berwajib dapat memberikan kelonggaran supaya ibadat korban dapat dilakukan di ladang-ladang ternakan yang diusahakan mereka.
Seorang penternak lembu dan kambing, Maarif Maarof, 64, berkata, penternak bersedia untuk melaksanakan aktiviti korban dan penyembelihan ternakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan jumlah kehadiran petugas yang minimum di ladang.
Tambahnya, kelonggaran itu setidak-tidaknya memberi sedikit kelegaan kepada penternak selepas mereka mengalami kerugian besar apabila keputusan ibadat korban tidak dibenarkan untuk dilaksana di negeri ini bagi sambutan Aidiladha tahun ini.
“Isunya kini adalah pihak berkuasa tidak mahu orang ramai berkumpul ketika melaksanakan ibadat korban. Kalau buat di ladang kami pasti akan ikut SOP, kami tidak akan benarkan orang awam datang ke sini secara beramai-ramai.
“Apa yang yang penting adalah kita jaga penjarakan. Bagi seekor lembu, ia boleh diuruskan minimum enam orang petugas sahaja termasuk untuk proses melapah dan membungkus. Jika dikatakan proses pengagihan daging korban itu nanti boleh menyebabkan penyebaran jangkitan, apa bezanya dengan program sumbangan makanan yang banyak dilakukan ketika ini?” katanya.
Dia yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Usahawan Ruminan Negeri Sembilan (PURNS) berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di ladang ternakannya di Mambau dekat sini.
Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dalam kenyataannya semalam memaklumkan ibadat korban di seluruh negeri ini pada tahun ini adalah tidak dibenarkan.
Keputusan yang diambil tersebut telah dipersetujui setelah dipersembah kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan dikemukakan kepada Datuk-Datuk Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin selepas syor dan nasihat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid Negeri Sembilan dan MKN.
Ketetapan tersebut diambil sebagai menyahut nasihat kerajaan agar semua bentuk aktiviti berkumpulan dikawal bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 ini.
Sementara itu, jelas Maarif, dia telah mengeluarkan modal sehingga RM150,000 bagi membawa masuk stok ternakan lembu pada bulan Februari lalu bagi persediaan tempahan oleh pihak yang berhajat termasuk masjid dan surau yang mahu melaksana dan menjalankan ibadat korban kali ini.
“Ia belum masuk dengan kos makanan, upah pekerja dan lain-lain. Sudahlah tahun ini golongan penternak berdepan cabaran cukup mencabar termasuk harga dedak yang meningkat tetapi tiba pada waktu yang dinantikan, korban pula tidak dibenarkan.
“Memang tidak sangka begini, jika keputusan diberikan lebih awal mungkin kami boleh juga buat apa-apa persediaan lebih awal. Ramai penganjur korban yang sudah membatalkan tempahan mereka dan mahu melaksanakan korban di luar negeri, sekarang apa pula nasib bahagian golongan asnaf dan fakir miskin di negeri ini,” katanya lagi. – UTUSAN










