Peniaga telefon musim Covid-19 bangkit menerusi online

Peniaga telefon bangkit menerusi online

AZLINDA Salehudin mempromosikan menjual telefon pintar dan aksesori secara online semasa PKP ketika ditemui di Taman Perpaduan Koperasi di Ipoh, Perak. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selama tujuh tahun berniaga alat komunikasi dan aksesori telefon di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini, Azlinda Salehudin, 39, akhirnya terpaksa menutup perniagaannya disebabkan kekurangan pelanggan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

Pelaksanaan PKP demi PKP menyebabkan perniagaannya yang menjual aksesori telefon, telefon pintar dan perkhidmatan membaiki telefon tidak lagi mampu bertahan kerana hasil jualan yang merosot sehingga dia tidak mampu untuk membayar sewa premis, gaji pekerja dan modal pusingan.

Dia masih ingat bagaimana dia tetap membayar sewa premis yang sangat tinggi dalam keadaan perniagaan tidak dapat beroperasi ketika PKP, menyebabkan dia tidak lagi menyewa premis di pusat beli belah tersebut pada Mei tahun lalu.

“Sewa bulanan ruang niaga di pusat membeli-belah mencecah RM6,300 sebulan, jadi untuk bertahan dengan perniagaan yang tidak beroperasi memang sukar.

“Ramai peniaga seperti saya yang menyewa terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat menampung kos upah pekerja dan sewa kedai disebabkan PKP sejak Mac tahun lalu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Menurutnya, namun kesukaran yang dihadapi itu tidak mematahkan semangatnya sebaliknya dia kini bangkit meneruskan jualan secara dalam talian kira-kira setahun lalu.

Katanya, pada awalnya tidak begitu yakin perniagaan atas talian mendapat sambutan apatah lagi untuk menghasilkan keuntungan.

Jelasnya, namun dia bersemangat apabila ramai pelanggan tetap masih mencarinya walaupun dia tidak lagi berniaga di pusat beli-belah.

“Pelanggan tetap masih mencari saya jika mereka hendak membeli telefon baharu atau membaiki telefon mereka bahkan kini ada juga pelanggan baharu yang dikenali melalui media sosial.

“Saya berpuas hati kerana usaha mempromosikan produk tanpa henti menggunakan medium secara dalam talian seperti media sosial akhirnya membuahkan hasil yang lumayan.

“Sekarang saya hanya mempromosikan barangan yang dijual dalam Facebook dan apabila mendapat tempahan, saya akan buat penghantaran barang ke rumah atau lokasi yang ditetapkan (COD),” katanya.

Katanya, jika ada tempahan di dalam Perak, dia akan menghantar barang pesanan pelanggan secara terus manakala jika tempahan dari luar Perak, dia akan menggunakan perkhidmatan penghantaran secara pos. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN