60 peratus jururawat hilang menjelang 2030?

60 peratus jururawat hilang menjelang 2030?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah anggota jururawat di Malaysia dijangka terus merosot sehingga mencecah 60 peratus berbanding sasaran bilangan keperluan nisbah selamat antara jururawat dan populasi negara menjelang 2030.

Anggaran kemerosotan anggota jururawat itu semakin kritikal apabila negara kehilangan sekitar 2,000 hingga 3,000 jururawat setiap tahun atas pelbagai faktor termasuk berhijrah luar negara.

Presiden Delegasi Jururawat Malaysia (DJM), Anwari Hamzah berkata, isu kemerosotan jumlah jururawat timbul apabila berdasarkan data penuh Kementerian Kesihatan Malaysia tahun 2023, terdapat seramai 114,922 jururawat berdaftar terdiri daripada 78,118 orang di sektor awam manakala 36,804 orang di swasta.

Beliau berkata, pada tahun sama lebih 2,400 jururawat meninggalkan sektor kesihatan negara untuk berkhidmat di luar.

“Dianggarkan setiap tahun sistem kejururawatan negara kehilangan sekitar 2,000 hingga 3,000 orang jururawat dan jika ia berterusan sehingga tahun 2030, anggaran jumlah golongan yang berkhidmat adalah sekitar 97,500 orang sahaja.

“Berdasarkan daripada segi peratusan untuk 2030 nanti, kita hanya mampu capai sebanyak 57.35 peratus keperluan jururawat untuk penjagaan asas yang memerlukan sekitar 170,000 orang dan hanya capai 36.08 peratus keperluan jururawat untuk penjagaan penuh yang memerlukan 270,223 orang jururawat.

“Kita akan kekurangan sebanyak 42.65 peratus hingga 63.92 peratus bilangan jururawat yang sepatutnya dicapai menjelang 2030,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Anwari berkata, Malaysia memerlukan seramai 270,223 jururawat bagi mengekalkan sistem kesihatan awam daripada runtuh kerana berdasarkan nisbah jururawat dan populasi disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah 1:200 (satu jururawat bagi setiap 200 penduduk).

“Unjuran daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pula menyasarkan keperluan sebanyak 75.1 jururawat bagi setiap 10,000 populasi. Berdasarkan unjuran itu nisbah disasarkan adalah 1:133.

“Secara umumnya, untuk mencapai unjuran ini, KKM memerlukan seramai 270,223 jururawat menjelang 2030 bagi memastikan perkhidmatan kejururawatan dapat dikekalkan secara menyeluruh termasuk pengurusan penyakit kronik, klinik perancangan keluarga, rehabilitasi dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan statistik KKM, jumlah jururawat berdaftar setakat Mei lalu sudah mencapai 137,471 orang namun masih jauh daripada sasaran ditetapkan.

Isu ini turut pernah diakui Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang memaklumkan berdasarkan unjuran KKM tahun lalu, sektor kesihatan diunjurkan mengalami kekurangan jururawat sehingga 60 peratus menjelang 2030.

Anwari berkata, kerajaan khususnya KKM justeru itu perlu menghentikan sistem dan dasar yang menjelaskan kebajikan, keperluan dan kepentingan jururawat.

“Banyak polisi memberi kesan negatif kepada perkara ini termasuk bilangan kolej kejururawatan dikurangkan, jam bekerja golongan jururawat ditambah tanpa alasan, isu pengambilan kontrak tanpa diserap bertahun-tahun, penarikan pencen, jururawat ditarik dan dipindahkan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu memenuhi lima tuntutan supaya isu tersebut dapat diselesaikan iaitu penambahan bilangan jururawat secara besar-besaran dan kenaikan gaji tetap, tangga gaji serta elaun golongan berkenaan.

“Pengurangan skop kerja yang bukan dalam jadual tugasan jururawat. Peluang untuk memajukan diri dari segi akademik melalui program Diploma Lanjutan, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan lain-lain.

“KKM juga perlu mengekalkan waktu jam bekerja sedia ada terutamanya bagi jururawat syif dan membuka peluang kepada golongan itu yang berkelayakan untuk menguruskan sistem kejururawatan itu sendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN