Haval Raptor PHEV i4: Jentera 4X4 agresif, tangki 1,000 km 

Haval Raptor PHEV i4: Jentera 4X4 agresif, tangki 1,000 km 

RUPA depan Haval Raptor menampilkan gaya kotak dengan identiti rugged.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 21 hingga 27 November lalu, GWM Malaysia membawa wakil media termasuk penulis ke ibu pejabat serta fasiliti pembangunan GWM di Baoding China. 

Lawatan ini memberi peluang melihat proses pembangunan model baharu GWM selain menjalani sesi pandu uji awal Haval Raptor. 

Ia memberikan gambaran lebih tepat tentang kemampuan dan karakter kenderaan utiliti sukan (SUV) ini sebelum dilancarkan di Malaysia.

Rekaan dan Dimensi

Rupa depan Haval Raptor menampilkan gaya kotak dengan identiti rugged yang jelas. Gril besar melintang bersama tulisan Haval menjadi titik fokus utama. 

Lampu utama berbentuk petak dengan grafik DRL empat segi memberi imej moden namun masih membawa karakter SUV maskulin seperti Land Rover Defender dan Mercedes G-Wagon. 

Bampar depan tebal dengan kemasan hitam matte menguatkan penampilan lasak terutama apabila digandingkan dengan warna badan yang terang dan kontras.

Panjang sekitar 4.8 meter dengan jarak roda hampir 2.74 meter memberikan kedudukan yang tegap. Fender lebar dan utiliti  rak bumbung melengkapkan gaya adventure sekali gus menjadikannya pilihan sesuai untuk penggunaan harian serta aktiviti luar.

Bahagian Dalaman dan Teknologi

Ruang dalaman Haval Raptor menggabungkan elemen moden serta karakter rugged

Bahagian hadapan pemandu terdapat skrin meter digital 12.3 inci untuk paparan pemanduan termasuk penggunaan tenaga jarak navi­gasi kenderaan elektrik (EV) serta mod pemanduan. 

Grafik skrin turut berubah mengikut mod memberi paparan lebih jelas dan mudah dibaca.

Skrin infotainmen 14.6 inci menjadi pusat kawalan utama untuk peta sambungan telefon pintar kawalan pendingin hawa serta tetapan sistem Hi4. 

Susun atur papan pemuka kelihatan bersih dan minimalis dengan penggunaan material lembut dan kemasan berkualiti. 

Konsol tengah me­nempatkan tombol gear elektronik pengecas telefon tanpa wayar ruang simpanan terbuka serta dua pemegang cawan besar yang sesuai untuk kegunaan harian.

Varian Untuk Malaysia PHEV Hi4 Sahaja

Untuk pasaran Malaysia GWM hanya menumpukan kepada varian kenderaan hibrid plug-in elektrik (PHEV) Hi4. 

Sistem ini menggabungkan enjin 1.5 turbo dengan dua motor elektrik dan boleh mencapai sehingga 443hp serta tork 750Nm bergantung konfigurasi bateri. 

Jarak pemanduan elektrik sekitar 100 hingga 150 kilometer (km) sesuai untuk pemanduan bandar dalam mod EV. 

Sistem pacuan semua roda Hi4 memberi cengkaman tinggi di laluan tidak rata serta menawarkan beberapa mod pemanduan termasuk mod offroad ringan.

Jarak Pemanduan Penuh NEDC

Dalam keadaan bateri penuh dan tangki minyak penuh Haval Raptor PHEV Hi4 mampu mencapai jarak pemanduan sekitar 900 hingga 1,000 km mengikut stan­dard NEDC. 

Kecekapan sistem hibrid ini membantu mengurangkan penggunaan petrol semasa pemanduan biasa.

Keupayaan dan Praktikaliti

Hadir dengan kelegaan tanah 223 millimeter (mm), sudut pendekatan sekitar 25 darjah dan sudut pelepasan 32 darjah, selain keupayaan meredah air sehingga 580 mm, menjadikan Raptor sesuai untuk pemanduan off-road yang mencabar. 

Ruang but seluas 586 liter pula memberikan fleksibiliti untuk keluarga dan perjalanan jauh.

Haval Raptor di­jangka memasuki pasaran Malaysia se­awal 2026, namun tarikh rasmi masih belum diumumkan oleh GWM Malaysia.

Nama Raptor berpotensi diubah bagi mengelakkan pertindihan dengan model Ford, walaupun keputusan akhir masih belum dimuktamadkan. 

Spesifikasi tempatan dijangka ter­tumpu kepada PHEV Hi4 dengan kelengkapan ke­selamatan penuh serta ciri tambahan mengikut keperluan pasaran Malaysia.

Jangkaan Harga dan Pesaing

Dengan harga rujukan pasaran China sekitar RM110,000 sebelum cukai, harganya  dijangka kompetitif jika dibawa masuk sebagai kenderaan import sepenuhnya (CBU). 

Gabungan rekaan kotak teknologi PHEV Hi4 kuasa tinggi serta kemampuan offroad ringan menjadikannya pesaing menarik dalam segmen SUV lima tempat duduk di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN