KUALA TERENGGANU: Seorang penghantar makanan cedera ringan selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan polis trafik di persimpangan lampu isyarat di Batu Buruk di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Ahmad Shahrul Adha Ahmad Sukri, 26, mengalami luka kecil pada beberapa anggota badan manakala polis trafik, Mohd. Azri Firdaus Kamarzaman, 33, turut luka pada tangan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Abd. Razak Hasan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang anggotanya bertembung dengan Ahmad Shahrul Adha ketika hendak membelok ke kanan menghala ke arah Kuala Ibai.
“Ketika kejadian motosikal jenis Yamaha SYM yang ditunggang penghantar makanan itu dari arah Kuala Ibai menghala ke pusat bandar.
“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abd. Razak, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE










