Penduduk gotong-royong sediakan PPV - Utusan Malaysia

Penduduk gotong-royong sediakan PPV

SEBAHAGIAN penduduk menunggu giliran sebelum menerima vaksin Covid-19 mereka di Nilai Impian, Nilai, Seremban, kelmarin. - UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jika sebelum ini gotong-royong hanya tertumpu membersihkan kawasan atau kenduri kahwin, kini kerja komuniti turut melibatkan penyediaan pusat pemberian vaksin (PPV).

Bagi Sekretariat Outreach Vaksinasi Covid-19 Nilai Impian, Datuk Azlinda Zainal Abidin berkata, program vaksinasi kepada penduduk itu diadakan sehari melibatkan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Gabungan Persatuan Penduduk Nilai Impian (GGPNI).

Katanya, inisiatif itu diambil selepas berlaku peningkatan kes di negara ini dan dalam masa yang sama untuk membantu kerajaan mempercepat Program Vaksinasi Covid-19 (PICK).

“Semua vaksin ini bukan kami beli, ia adalah daripada PKDS, kami bekerjasama dengan mereka untuk menguruskan semua aspek logistik termasuk tempat dan sukarelawan. Pihak PKD pula memberikan vaksin dan memasukkan segala data diperlukan dalam aplikasi MySejatera.

“Untuk program ini kami berikan pada penduduk yang masih belum menerima vaksin. Kami kumpulkan senarai penduduk dan selepas itu senarai berkenaan diserahkan pada PKD untuk urusan data dan juga vaksin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seramai 1,800 penduduk Nilai Impian menerima vaksin dalam program yang dibantu kira-kira 200 kakitangan PKD dan sukarelawan.

Dalam pada itu, seorang anggota sekretariat program itu, Mohd. Hanapi Bisri berkata, pihaknya berdepan beberapa cabaran ketika mengadakan program tersebut.

“Untuk program ini kami gunakan dewan. Ada orang awam yang panggil polis ingatkan kami ada majlis kahwin. Mujurlah kami beri penerangan dan akhirnya semua berjalan lancar,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN