Sarawak, Sabah kekal rakan strategik negara

Sarawak, Sabah kekal rakan strategik negara

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Madani tidak pernah meminggirkan mana-mana wilayah atau negeri, sebaliknya memastikan Sarawak dan Sabah kekal sebagai rakan strategik utama dalam usaha membina Malaysia yang makmur, adil dan bersatu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau menyokong tekad Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh agenda pembangunan di kedua-dua negeri demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan masa depan negara.

Katanya, Kerajaan Madani kekal komited memacu pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan di Sarawak melalui pelaburan strategik, pengukuhan sektor tenaga, pembangunan infrastruktur serta pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Sabah pula diberi keutamaan melalui usaha mempercepat projek pembangunan asas, meningkatkan kemudahan awam, dan merangsang pertumbuhan ekonomi wilayah secara menyeluruh.

“Penekanan berterusan kerajaan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk isu pentadbiran, kewangan serta pengurusan sumber seperti minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan hari ini,”.

Menurut Mustapha, usaha itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Madani untuk memastikan hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak terus dipelihara secara adil dan berprinsip.

“Manfaat pembangunan perlu sampai terus kepada rakyat, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan usaha kerajaan dalam memperluaskan agenda tenaga hijau, pelaburan dalam teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan modal insan melalui TVET dan pendidikan tinggi.

Katanya, inisiatif perumahan rakyat termasuk Program Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat dan skim pembiayaan inovatif untuk golongan belia menunjukkan pendekatan kerajaan yang holistik dan berteraskan kesejahteraan rakyat.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Sarawak dan Sabah agar terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri dalam menjayakan agenda pembangunan negara berlandaskan prinsip Madani selaras dengan aspirasi ‘Segulai Sejalai’ dan ‘Sabah Maju Jaya’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN