Penduduk cedera dikejar anjing, MBS akan ambil tindakan segera - Utusan Malaysia

Penduduk cedera dikejar anjing, MBS akan ambil tindakan segera

PENDUDUK, Nur Afikah Noor Ahsikim (tengah) menunjukkan kecederaan yang dialami anaknya, Nur Aura Mikayla Mohamad Hilmi, 2, (kanan) dan jirannya, Noraina Adina Rahim, 18, yang cedera selepas terjatuh akibat dikejar sekumpulan anjing liar di Rumah Rakyat Rasah, Mambau, Seremban baru-baru ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengambil perhatian serius terhadap aduan penduduk yang cedera dikejar anjing di Rumah Rakyat Rasah, Mambau dekat sini seperti yang dilaporkan Utusan Online baru-baru ini.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Zazali Salehudin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera terhadap aduan tersebut dengan mengarahkan kontraktor yang telah dilantik bagi melakukan kerja-kerja menyelamatkan haiwan tersebut.

“MBS mengambil perhatian serius terhadap semua aduan berkenaan anjing terbiar dan mengambil tindakan segera dengan mengarahkan kontraktor yang telah dilantik bagi menjalankan kerja-kerja menyelamatkan haiwan terbiar termasuk anjing dan kucing melalui kaedah tangkapan, pemandulan, vaksinasi dan penyimpanan di seluruh kawasan pentadbiran MBS.

“Bagaimanapun, kerja-kerja tangkapan ini akan mengambil masa memandangkan aduan mengenai anjing liar adalah banyak dan pentadbiran MBS hanya mempunyai satu kontraktor buat masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 11 Julai lalu, Utusan Online melaporkan penduduk di Rumah Rakyat Rasah, Mambau dekat sini memohon pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu kehadiran anjing liar di taman perumahan tersebut yang memberi ancaman kepada keselamatan orang ramai.

Lebih membimbangkan, terdapat seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun cedera setelah mereka dikejar kira-kira tujuh ekor anjing liar dalam kejadian di kawasan tersebut, dua hari sebelum itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN