BAGAN SERAI: Tiga lokaliti di Daerah Kerian di sini, yang terlibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula hari ini dilarang menyambut Hari Raya Aidiladha secara terbuka, sebaliknya hanya di rumah masing -masing.
Pegawai Daerah Kerian, Mohd. Sabli Bakri berkata, tiga lokaliti yang terlibat PKPD itu ialah Apartment Tropicana Bukit Merah, Kampung Lubuk Binjai dan Kampung Tersusun Pondok Tanjung.
Menurutnya, ini susulan dua kluster baharu dikesan iaitu Kluster Tapak Bina Solar Beriah dan Kluster Pondok Tanjung yang menjangkiti penduduk dan pekerja di kawasan itu.
Beliau berkata, seramai 175 penduduk di Apartment Tropicana dikuarantin selepas beberapa pekerja dari tapak binaan Solar Beriah membabitkan warga asing dikesan positif Covid-19 dan turut menjangkiti penduduk selepas ujian saringan dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, manakala di Kampung Binjai dan Kampung Tersusun Pondok Tanjung pula, seramai 280 penduduk dikuarantin susulan seorang penduduk yang bekerja di kebun sayur disini disahkan positif Covid-19 dan turut menjangkiti penduduk dua lokaliti tersebut.
“Tiga lokaliti ini tidak dibenarkan untuk menyambut Aidiladha secara terbuka dan majlis korban juga tidak boleh dilakukan di dalam kawasan PKPD terlibat.
“Sambutan perayaan hanya boleh dibuat di dalam kediaman sendiri dan tiada kunjung mengunjung dalam kawasan itu,” katanya .
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program penyampaian barangan bantuan makanan asas dan barangan dapur seperti telur, sayur dan beras kepada penduduk yang terlibat PKPD di Apartment Tropikana Bukit Merah di sini hari ini.
Sumbangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria.
Razman berkata, pihaknya akan membantu menyediakan barangan keperluan asas dan daging korban kepada penduduk yang terlibat PKPD di tiga lokaliti tersebut. – UTUSAN ONLINE