JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu tampil dengan pendekatan berbeza dalam menguruskan pandemik Covid-19 dengan berkesan antaranya meletakkan sains sebagai asas utama kepada keputusan dan ketetapan yang dibuat.
Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan perlu menilai semula strategi semasa yang tiada koordinasi dan perancangan bersepadu seperti didedahkan Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Brigedier Jeneral Dr. Mohd Arshil Moideen.
Maka, beliau berkata, tidak hairanlah, negara mencatatkan 11,079 kes harian baharu semalam yang bermakna dalam tempoh 24 jam yang lalu seramai purata 7.6 orang rakyat disahkan positif Covid-19 bagi setiap minit.
Jelasnya, lebih teruk, semua ini berlaku dalam tempoh darurat dan sekatan pergerakan penuh yang menyaksikan rakyat di semua negeri dikurung di rumah.
“Sekiranya keputusan dibuat berasaskan sains, kita akan melihat beberapa perkara yang berbeza antaranya perbezaan prosedur dan kelonggaran kepada mereka yang sudah menerima suntikan satu dos, lengkap dua dos, dalam senarai menunggu dan mereka yang langsung tidak mendaftar untuk vaksinasi.
“Sudah tentulah setiap satu kelompok ini mempunyai risiko dan tahap kebolehjangkitan dan imunisasi yang berbeza.
“Dalam hal ini kita boleh hadir dengan ketetapan seperti mengenakan syarat kuarantin di rumah kepada mereka yang sudah mempunyai dua dos lengkap apabila pulang dari luar negara berbanding kuarantin 14 hari di pusat khas yang dikenakan secara pukul rata kepada semua kelompok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, langkah itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kepadatan pusat kuarantin yang akan memberikan beberapa mesej jelas secara tidak langsung.
Katanya, ini menunjukkan bahawa keputusan dan ketetapan yang dilakukan adalah bersandarkan sains dan garis panduan perubatan.
“Selain itu, ia membuktikan kerajaan memberi insentif yang sewajarnya sekaligus meyakinkan lebih ramai masyarakat untuk terus mendaftar dan mendapatkan vaksin.
“Langkah ini membolehkan ekonomi bernafas beransur-ansur tanpa perlu menunggu hanya selepas 70 hingga 80 peratus populasi divaksin dan mencapai imuniti berkelompok untuk kembali beroperasi,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau memberitahu, masyarakat akan lebih jelas dengan cara kerajaan membuat keputusan yang bersandarkan sains dan garis panduan perubatan.
“Keputusan yang dibuat bukan lagi mengikut tahap atau status ekonomi, jawatan dan pengaruh atau pertimbangan-pertimbangan lain yang kabur dan tidak adil. Kita mesti merancang untuk mengembalikan kehidupan dan operasi ekonomi dengan teliti dan berhati-hati. Pendekatan melihat jumlah kes positif harian semata-mata tidak mencukupi.
“Rakyat tidak boleh selama-lamanya dikurung dan disekat tanpa sebarang perancangan jangka panjang yang jelas dan strategik. Benarlah. Jika kita gagal merancang, kita merancang kegagalan,” ujarnya. – UTUSAN










