JOHOR BAHRU: Tindakan mendesak menukar pemimpin ketika krisis bukan sahaja wajar malah perlu apabila seseorang pemimpin sudah lemas dan gagal untuk terus mengemudi keadaan dengan lancar dan meyakinkan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas gagal menguruskan pandemik Covid-19 dengan baik apabila bukan sahaja keadaan ekonomi tidak pulih, sebaliknya darurat kesihatan negara terus meruncing dengan kritikal dan menakutkan sehingga petugas barisan hadapan sudah sangat kelesuan.
Katanya, sistem kesihatan negara mencecah kapasiti maksimum dan berisiko lumpuh manakala rakyat terhimpit dan tertekan disebabkan pandemik Covid-19.
Tambahnya, paling penting, semua itu berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan dan darurat yang menyaksikan penggantungan institusi demokrasi seperti Parlimen.
“Pertamanya, dalam konteks penarikan sokongan UMNO kepada Perdana Menteri ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan melihat dengan jelas dan terbuka bahawa strategi dan gerak kerja mereka sebelum ini telah gagal sama sekali.
“Jadi, adalah sangat dangkal untuk terus bertahan dengan pelan atau pendekatan yang sama. Ini mesej besar yang mesti dihadam dengan berlapang dada. Kedua, penarikan sokongan ini dapat menghentikan sebarang desas desus, teka-teki atau apa-apa khabar angin berkaitan sokongan serta majoriti yang dipunyai Perdana Menteri.
“Penarikan sokongan ini akan membuka ruang yang telus untuk dilakukan penilaian semula kepercayaan dan keyakinan Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata, penarikan sokongan ini juga dapat menunjukkan dengan lebih tegas bahawa UMNO sebagai sebuah parti sangat serius dengan tuntutannya berkaitan kebajikan rakyat.
Bekas Menteri Besar itu berkata, UMNO mahu isu rakyat dan kemaslahatan negara menjadi perkara pokok yang tiada kompromi bukannya sesuatu yang dipandang enteng dengan strategi yang bersifat separa masak dan berulang-ulang sekalipun terbukti gagal.
“Malah, sebarang tawaran jawatan kepada sesetengah pemimpinnya tidak akan mengubah pendirian UMNO yang mahukan perkara terbaik untuk masyarakat dan negara.
“Kita mengharapkan wujud keyakinan atau harapan baharu di pihak rakyat dengan pemimpin baharu yang membawa harapan dan jangkaan yang segar. Maka, strategi, pendekatan berbeza dan pelan yang lebih radikal adalah sangat diharapkan,” ujarnya.
Katanya, biar apa pun pandangan dan persepsi yang timbul dari penarikan sokongan ini, penukaran pemimpin dalam tempoh krisis bukanlah sesuatu yang pelik dan tidak bertanggungjawab.
Tambahnya, sesiapa sahaja yang diangkat atau menawarkan diri untuk mengemudi negara akan memberikan komitmen dengan keseriusan yang jauh lebih meyakinkan.
“Menguruskan pandemik kesihatan dan kegawatan ekonomi yang mempunyai kesan domino di peringkat global bukan satu amanah kecil. Hanya mereka yang berjiwa besar harus digalaskan dengan tanggungjawab ini,” katanya. – UTUSAN