JOHOR BAHRU: Pemergian Ketua Wanita Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat dan Ketua DHPP Johor, R. Kumutha, 42, yang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 hari ini merupakan satu kehilangan besar buat parti berkenaan.
Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin berkata, mendiang merupakan seorang ahli parti yang setia dengan perjuangan Pas sehingga ke akhir hayatnya di mana jasa serta sumbangan Kumutha sangat besar.
“Saya mendapat tahu Kumutha telah meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada pukul 11.30 pagi tadi, dia banyak membantu Pas.
“Beliau menarik ramai orang bukan Islam untuk menjadi ahli kelab penyokong Pas di setiap bahagian di Johor dan dia juga terkenal dalam kalangan ahli kita di seluruh negara,” katanya di sini hari ini.
Kumutha menyertai parti itu sebagai ahli kelab penyokong Pas sejak 2007 sebelum dilantik untuk mengetuai kelab tersebut pada 2013.
Mendiang juga telah menjadi calon Pas untuk tiga Pilihan Raya Umum (PRU) dan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dan DUN Johor Jaya pada 2008, 2013 dan 2018 namun tidak memenanginya.
Selain itu, Kumutha juga merupakan Pegawai Khas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff.
Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Johor, Normala Sudirman berkata, mendiang seorang ahli parti dan individu yang sentiasa gigih berusaha.
“Pada saat ramai rakan dalam Pas pergi meninggalkan parti beberapa tahun lalu, mendiang masih setia sebagai penggerak utama DHPP meskipun dia bukan beragama Islam.
“Yakinnya dia atas prinsip dan perjuangan Pas dan Islam tidak akan membiarkan penganut agama lain dizalimi dan dihina sangat dihargai,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pemuda Pas Pusat turut mengucapkan takziah kepada keluarga Kumutha menerusi laman Facebook mereka dan berjanji tidak akan melupakan sumbangan dan pengorbanannya malah akan dikenang serta dijadikan inspirasi.
“Pemergiannya adalah kerugian besar terhadap perjuangan Pas,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN










