Pembantu kedai barang maut kemalangan - Utusan Malaysia

Pembantu kedai barang maut kemalangan

KEADAAN kereta Proton Iswara dan motosikal yang ditunggang oleh Siti Nurbayah Johari selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Batas Ubi, Teroi, Yan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seorang pembantu kedai barang maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Jalan Batas Ubi dekat Teroi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi itu, mangsa, Siti Nurbayah Johari, 52, dari Kampung Perupok di sini meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Demak DVS5 telah keluar dari simpang kanan tanpa melihat keadaan trafik di laluan itu.

“Sebuah kereta Proton Iswara dipandu seorang juruteknik dari arah Yan menghala Guar Chempedak yang kebetulan melalui laluan itu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

“Impak hentaman kuat dari jarak dekat telah menyebabkan motosikal mangsa terperosok di bawah kereta manakala kenderaan dipandu lelaki berusia 33 tahun itu terbalik,” katanya di sini hari ini.

Katanya, penunggang motosikal yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat manakala pemandu kereta yang mengalami kecederaan ringan diberikan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Yan,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN