PETALING JAYA: Ahli-ahli Parlimen pembangkang terus menggasak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyudddin Hassan agar beliau memberikan jawapan segera sama ada penamatan Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinan berkaitan telah mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong atau sebaliknya.
Blok pembangkang masih tidak berpuas hati dengan jawapan Takiyuddin pada pagi tadi bahawa beliau akan menjawab perkara itu pada Isnin ini.
Antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson), Gobind Singh Deo (PH-Puchong) dan Fahmi Fadzil (PH-Pantai Dalam).
Anwar mendakwa kenyataan Takiyuddin itu seolah-olah tidak lagi mendapat perkenan Agong sekali gus telah mengelirukan Dewan Rakyat.
“Kami hanya mahu jawapan sama ada dapat perkenan Agong atau tidak, itu sahaja,” katanya.
Gobind kemudian mempertikaikan ketidakhadiran Takiyuddin ketika ahli-ahli Parlimen pembangkang meminta penjelasan itu.
“Mana pergi Kota Bharu (Takiyuddin)?,” soalnya.









