PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan, satu penyelesaian telah dipersetujui melibatkan Paul Geoffrey Stadlen dan Datuk Mohd. Hafarizam Harun berdasarkan persetujuan Jabatan Peguam Negara.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, Paul Geoffrey dan Mohd. Hafarizam telah dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] membabitkan wang berjumlah RM15 juta.
Menurut SPRM, Paul Geoffrey bersetuju untuk melepaskan secara rela hati keseluruhan wang berjumlah RM7,192,873.84 dan keseluruhan wang tersebut akan dipindahkan ke akaun amanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Perkara tersebut diputuskan setelah mengambil kira bahawa jumlah itu adalah wajar untuk dilucut hak. Sehubungan dengan itu, kes terhadap beliau ditarik balik,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, SPRM berkata, Jabatan Peguam Negara turut memutuskan tindakan kompaun di bawah Seksyen 92 (1) Akta 613 berjumlah RM590,587.26 dikenakan terhadap Mohd. Hafarizam setelah mengambil kira serta mempertimbangkan alasan-alasan yang munasabah termasuk lanjutan daripada penarikan balik kes terhadap Paul Geoffrey.
Katanya, pertuduhan terhadap Mohd. Hafarizam ditarik balik setelah kompaun diselesaikan.
“Sebelum ini, pertuduhan terhadap Paul Geoffrey telah dibuat tanpa kehadirannya pada 20 Februari 2019 manakala Mohd. Hafarizam dituduh pada 3 Ogos 2020 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Awal pagi tadi, Mohd. Hafarizam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada tiga pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM15 juta selepas membayar kompaun sebanyak RM590,587.26.
Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan menarik balik ketiga-tiga pertuduhan terhadap Penasihat Undang-Undang UMNO itu dan bersetuju menawarkan kompaun kepadanya.
Dengan keputusan tersebut, Mohd. Hafarizam kini bebas daripada semua tuduhan pengubahan wang haram yang mengaitkannya dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada 3 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) peguam tersebut daripada dua pertuduhan pengubahan haram berjumlah RM15 juta. – UTUSAN ONLINE