MELAKA: Panggilan tidak berjawab, pejabat agensi kerajaan negeri ditutup dan sukar mendapatkan bantuan kerana kerenah birokrasi.
Itu antara maklum balas daripada warganet yang diterima Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tentang Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Melakaku Maju Jaya 2021: Sejahtera Bersama yang berjumlah RM174.53 juta.
Justeru, Sulaiman mahu semua agensi dan penjawat awam mengambil serius dan mempercepatkan khidmat serta penyampaian bantuan kepada rakyat.
“Meskipun menerima banyak maklum balas positif di media sosial, namun terdapat juga segelintir komen warganet yang menegur aspek penyampaian bantuan.
“Oleh itu, saya pinta kepada semua agensi dan penjawat awam di Melaka agar beri perhatian, ambil serius akan hal-hal pelaksanaan sebegini.
“Selepas ini saya tak mahu lagi dengar rungutan-rungutan sebegini. Dalam waktu sekarang ini kita akan tolong semua orang yang meminta bantuan selagi termampu,” katanya dalam ucapan Amanat Penjawat Awam Negeri Melaka di sini hari ini.
Melaka menjadi antara negeri tertinggi dalam pemberian pakej bantuan kepada rakyat menerusi PRE Melakaku Maju Jaya 2021: Sejahtera Bersama yang menggariskan 60 inisiatif.
Sementara itu, mengenai sumbangan penjawat awam dalam Kumpulan Wang Amanah Tabung Bantuan Bencana Negeri Melaka, Sulaiman berkata, sebanyak RM78,000 telah diterima melalui pemotongan elaun dan gaji bagi tempoh Julai hingga September tahun ini.
Menurutnya, sumbangan tersebut melibatkan 1,707 penjawat awam negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri gred 29 dan ke atas.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam negeri atas pemotongan elaun Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA).
“Sumbangan ini akan digunakan untuk membantu rakyat Melaka yang terkesan akibat wabak Covid-19,” jelasnya.










