Padi rosak bekalan air kurang - Utusan Malaysia

Padi rosak bekalan air kurang

MOHD. Shukri Rejab (kiri) dan Abd. Rahim Jaafar menunjukkan sawah mereka yang kering di Kampung Guar Lobak, Sidam Kanan, Padang Serai, Kedah. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG SERAI: Lebih 100 pesawah di Sidam Kanan dekat sini, mengeluh kerana tanaman padi yang diusahakan di sawah seluas kira-kira 50 hektar terjejas disebabkan kekurangan bekalan air berikutan sistem pengairan di kawasan itu tidak berfungsi dengan baik.

Seorang pesawah, Abd. Rahim Jaafar, 63, berkata, mereka kini hanya bergantung kepada air hujan untuk memenuhi petak sawah memandangkan pokok padi yang ditanam mula mengeluarkan buah.

Katanya, ketika ini kawasan sawah tersebut perlu dipenuhi air bagi mengelak pokok padi tersebut rosak dan mati sehingga mengakibatkan pesawah terpaksa menanggung kerugian.

“Sekarang adalah masa penting untuk proses padi membesar dan berbuah tetapi disebabkan ketiadaan air, banyak pesawah mengeluh kerana padi tidak berisi dan rosak,” katanya di sini.

Harun Mat Jab, 72, pula berkata, sejak menjadi pesawah lebih 50 tahun lalu, musim padi kali ini tidak menguntungkan kerana sistem pengairan yang dikawal selia oleh Jabatan Parit dan Saliran (JPS) tidak berfungsi.

“Pesawah di kawasan Tanjung Belit, Guar Lobak dan Pulau Kemian yang terletak di bawah Unit Sentosa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sidam Kanan di sini, tidak menerima air secukupnya daripada sistem pengairan tersebut sejak awal musim,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Mohd. Shukri Rejab, 39, pula berkata, pengeluaran padi musim ini dijangka merosot teruk kerana masalah kekurangan air dan pesawah terpaksa menanggung kerugian.

“Pesawah mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan sumber air seperti membina parit baharu dan menggunakan pam air tetapi tetap tidak mampu menampung keperluan air di kawasan sawah itu,” katanya.

Sehubungan itu, jelasnya, mereka meminta JPS menyegerakan pembinaan rumah pam baharu bagi menyedut air daripada Sungai Sidam untuk disalurkan ke kawasan sawah tersebut. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya