Orang Melayu melihat, dengar, fikir… - Utusan Malaysia

Orang Melayu melihat, dengar, fikir…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CETUSAN isu seminggu dua ini berkaitan politik, yang bukan sahaja mendapat perhatian pihak Istana tetapi telah ditunjukkan halanya, menyaksikan fungsi dan peranan institusi Raja tetap di puncak.

Benarlah kata keramat, “Raja dan rakyat berpisah tiada”. Berkecamuk dan bertelagah macam mana pun politik itu, tapi bila keluar dari pintu istana, akan ada lah penyelesaiannya. Pasti reda lah. Cumanya setakat mana?

Demikianlah kata Braddel, satu-satunya penasihat undang-undang Inggeris menulis pada tahun 1935 dengan menyatakan bahawa titah Raja Melayu itu seperti undang-undang dan dipatuhi oleh rakyatnya. Dia sependapat dengan Frank Swettenham bahawa “a Malay is not quite a Malay, if he does not adhere to the ways of the sultanate”.

Swettenham pada tahun 1905 menyatakan: When the Malays say no to certain things, they may say yes for their Sultans.”

Institusi raja, pemimpin politik dan massa Melayu hari ini harus mengambil teladan dari sejarah silam. Satu hakikat yang agak menonjol apabila kita merenung sejarah Melayu ialah bagaimana pembesar-pembesar Melayu dan kuasa penjajah memeteraikan perjanjian-perjanjian penting dan yang mempengaruhi nasib orang Melayu tanpa melibatkan massa Melayu dalam sebarang perundingan. Massa Melayu tidak terlibat dalam proses membuat keputusan. Tidak keterlaluan jika kita katakan seolah-olah massa Melayu itu tidak wujud atau ‘tidak seharusnya diberi sebarang pertimbangan’.

Selidiklah sahaja, sebagai contoh Perjanjian Pangkor dan perjanjian-perjanjian lain yang mengekorinya dalam pelbagai negeri. Apabila kita menyelidik rekod-rekod sejarah zaman itu kita mendapat kesan seolah-olah perjanjian-perjanjian berkenaan merupakan urusan peribadi pembesar-pembesar Melayu berkenaan kuasa-kuasa penjajah. Dan inilah satu gejala utama yang memudahkan perkembangan penjajahan di masa silam. Kuasa penjajah cuma berunding dan mempengaruhi dengan apa juga cara tampuk kekuasaan masyarakat Melayu untuk mencapai matlamat mereka. Apabila ini berjaya dilakukan, segala perencanaan mereka dapat dilaksanakan dengan lancar di rantau ini.

Masuk jarum

Dengan cara melayani atau mengugut satu dua pembesar Melayu, paling ramai sekumpulan kecil pembesar, dengan mudah pihak penjajah dapat ‘jalankan jarumnya’ untuk memajukan kepentingan mereka. Maka, nasib dan masa depan orang Melayu dalam sejarah ketika itu ditentukan tanpa sebarang penglibatan dari mereka. Seolah-olah massa Melayu tidak wujud dan tidak berhak ke atas rantau ini.
Dan lebih zalim lagi, hak mereka tidak untuk menentukan sejarah. Seterusnya nasib mereka tidak diberi pengiktrafan.

Seperkara lagi, satu hakikat yang agak menarik dalam sejarah sosial bangsa Melayu ialah perbezaan di antara sikap pembesar Melayu silam terhadap orang luar atau asing serta sikap mereka terhadap massa Melayu. Dalam zaman feudal misalnya, pembesar Melayu memaksa massa Melayu merangkak-rangkap dan merayap-rayap di depannya. Akan tetapi bila berhadapan orang asing, mereka begitu bersopan-santun. Kalau pun tidak menikus.

Bandingkan sahaja sikap Raja Haji terhadap massa Melayu dengan sikapnya ke atas orang-orang Belanda semasa damai atau orang-orang asing yang lain – seperti digambarkan dalam Tuhfatul Nafis. Bandingkan sikap Tengku Hussein terhadap massa Melayu dengan sikapnya terhadap pentadbir-pentadbir Inggeris di Singapura seperti digambarkan dalam Hikayat Abdullah.

Begitu juga jika kita selidik catatan-catatan pengembaraan bangsa asing di rantau ini. Terdapat pelbagai contoh bagaimana pembesar-pembesar Melayu begitu bermurah hati dan mesra sekali. Dalam catatan-catatannya, Isabella Bird, seorang wanita Inggeris mengesahkan betapa istimewanya layanan diberikan kepadanya oleh pembesar Melayu.

Menelaah contoh-contoh dalam rekod-rekod sejarah, kita berasa seolah-olah pembesar-pembesar Melayu di masa-masa silam menganggap massa Melayu itu kurang martabat atau darjat kemanusiaannya rendah dari dirinya dan orang asing. Persamaan dapat wujud cuma antara diri mereka dengan orang asing tetapi tidak dengan massa Melayu.

Gemar berpolitik

Barangkali, ada yang bertanya mengapa perlu dibicarakan hal silam ini semula? Apa kaitannya dan bukankah ini merupakan kisah lama? Mengapa perlu diungkit-ungkit? Yang pentingnya ialah hari ini kita memahami masalah-masalah dan cabarannya kini dan mengatasinya?

Bunyinya memang sedap, tetapi dangkal isinya. Pendapat yang ahistorical ini atau buta sejarah sebegini menyempitkan ufuk intelek dan kesedaran bangsa Melayu.

Bukankah realiti politik Melayu hari ini sudah berpecah belah? Orang Melayu gemar berpolitik. Banyak parti teras Melayu pun tak apalah. Tujuh, lapan, 10, 20. Tapi biarlah politik itu ikut model orang lain – yang terarah dan mereka tahu apa yang hendak digapai untuk manfaat kaumnya.

Ada melontarkan kepada saya, “orang Melayu sudah tidak ada apapun di ‘Tanah Melayu’ Malaysia ini. Mengapa? Kata mereka , ekonomi sudah dikuasai orang lain. Pendidikan? Mereka juga. Kekayaan? Kita maklum mereka itu jua lah.

Yang kita orang Melayu ada kini, itupun ‘sekelumit’ yang tinggal hanyalah kuasa politik. Dan berdikit-dikit pula diambil pihak sebelah sana. Cuma, kita bernasib baik, masih ada Raja. Wallahualam.

Sebab itu tanpa kesedaran dan kepekaan socio-historical atau sejarah sosial, saya pasti kita tidak dapat memahami dengan mendalam sifat masalah dan cabaran-cabaran yang dihadapi serta implikasinya. Inilah satu ‘tragedi’ kepada pemimpin-pemimpin politik jika mereka terus alpa, sedangkan massa Melayu sedang melihat, mendengar dan memikir akan fi’il mereka, sebelum ‘membalasnya’.

Dan meskipun kita menolak kebenaran falsafah-falsafah berbentuk sejarah yang bersifat dogmatik dan linear – contohnya, dialectical materialism – kesedaran sejarah itu tetap penting.
Ia buat kita memahami keadaan hidup, cabaran getir mendatang dan kewujudan kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN