JOHOR BAHRU: Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bandar raya ini bakal dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang mula beroperasi pada 19 Julai sehingga 31 Oktober ini.
PPV kategori institusi pengajian tinggi integrasi di selatan tanah air itu berpusat di Dewan Perpustakaan Raja Zarith Sofia (PRZS), UTM.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pengurusan PPV UTM, Abdul Razib Shahuddin berkata, universiti itu sedia memainkan peranan dalam menyokong usaha kerajaan bagi melawan pandemik Covid-19.
“Bagi melaksanakan inisiatif ini, UTM menubuhkan jawatan kuasa khas diwakili pelbagai pihak dalam universiti dengan kerjasama Pejabat Daerah Kulai serta agensi kerajaan negeri lain untuk memastikan kelancarannya.
“PPV ini akan beroperasi setiap hari bermula 19 Julai hingga 31 Oktober ini bermula pukul 8 pagi sehingga 9 malam dengan kapasiti vaksin harian sebanyak 1,500 dos,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










