Operasi Lonjakan Kapasiti agih 432,000 dos vaksin sejak Rabu lalu - Utusan Malaysia

Operasi Lonjakan Kapasiti agih 432,000 dos vaksin sejak Rabu lalu

SUKARELAWAN Wilayah Prihatin membantu mereka yang hadir untuk menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Rumah Prihatin @ Grand Season Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 432,000 dos vaksin Covid-19 diberikan kepada individu dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerusi inisiatif Operasi Lonjakan Kapasiti yang bermula Rabu lalu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, angka itu diperoleh bagi tempoh dua hari iaitu 21 hingga 22 Julai lalu.

Beliau berkata, sebanyak 432,843 suntikan dos itu diberikan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

“Sebanyak 293,100 adalah suntikan dos pertama. Sehingga semalam sebanyak 71.9 peratus penduduk dewasa 18 tahun ke atas menerima sekurang-kurangnya satu dos,” katanya dalam sidang akhbar Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini.

Khairy berkata, Operasi Lonjakan Kapasiti adalah inisiatif khas yang diperkenalkan bertujuan membendung penularan pandemik Covid-19 di Lembah Klang.

Ditanya sama ada Operasi Lonjakan Kapasiti akan diperluaskan di negeri-negeri lain dalam masa terdekat susulan peningkatan kes di beberapa negeri, Khairy berkata, beliau mahu memastikan inisiatif itu diselesaikan di Lembah Klang terlebih dahulu.

“Kita mahu pastikan Operasi Lonjakan Kapasiti di selesaikan di sini (Kuala Lumpur dan Selangor) terlebih dahulu,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya juga sentiasa menyemak strategi pengedaran vaksin di setiap negeri bagi memastikan bekalan vaksin mencukupi dan berjalan lancar.

Jelas beliau, Operasi Lonjalan Kapasiti akan berlangsung dua sesi yang mana sejumlah 1.3 juta individu dewasa di Lembah Klang akan menerima dos pertama vaksin mulai 21 hingga 25 Julai ini dan 1.3 juta lagi daripada 26 Julai hingga 1 Ogos.

Susulan itu, katanya, keupayaan dan kapasiti vaksinasi di Lembah Klang akan ditingkatkan berikutan pelaksanaan operasi berkenaan, daripada 180,000 dos sehari kepada 272,000 dos sehari.

Selepas Operasi Lonjakan Kapasiti tamat pada 1 Ogos, penduduk dewasa berusia 18 tahun keatas yang belum menerima janji temu dibenarkan untuk mendapatkan vaksinasi mereka secara terus (walk-in) di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin di Kuala Lumpur dan Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN