KANGAR: Sebanyak enam premis perniagaan di negeri ini yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikompaun menerusi Op Patuh yang dilaksanakan sejak 25 Jun lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, antara kesalahan premis terbabit adalah gagal menyediakan pengimbas suhu atau pengimbas suhu tidak berfungsi, membuka bahagian yang tidak dibenarkan dan menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak dibenarkan.
Katanya, Op Patuh yang diadakan secara besar-besaran di seluruh negara pada semalam melibatkan 186 anggota daripada pelbagai agensi.
“Selain itu, Op Covid-19 biasa juga diteruskan melibatkan 446 keanggotaan daripada agensi yang sama. Semalam sahaja, sebanyak 34 individu dikompaun atas kesalahan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, saya melihat pematuhan SOP semasa Op Patuh ini amat baik iaitu pada tahap 98 peratus yang mana masih belum ada lagi kilang-kilang di negeri ini yang melanggar arahan ditetapkan.
“Kilang paling besar di negeri ini pun beroperasi kurang daripada kapasiti pekerja 60 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan manakala kebanyakan kilang-kilang kecil pula tidak beroperasi buat masa ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memberi amaran kepada mana-mana kilang atau premis perniagaan yang ingkar akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dengan kompaun bernilai RM50,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, semalam menerusi Op Patuh, polis melakukan pemeriksaan di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di Zon Industri Jejawi di sini.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew memuji inisiatif kilang pembuatan sarung tangan tersebut yang menyediakan bilik rawatan sementara di kilang berkenaan.
Katanya, jika terdapat pekerja yang disyaki demam atau batuk mereka akan dirujuk kepada jururawat yang bertugas untuk membuat pemeriksaan di bilik berkenaan.
“Sekiranya ada apa-apa yang diragui jururawat bertugas akan merujuk terus kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Ini dilihat sebagai adalah satu model pencegahan Covid-19 yang baik daripada pihak syarikat untuk menjaga kesihatan para pekerja,” jelasnya.










