SEREMBAN: Kesal dengan pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) menyerahkan memorandum menyatakan taat setia kepada baginda dan Raja-raja Melayu di seluruh negara hari ini.
Ia termasuk di negeri ini apabila wakil pertubuhan berkenaan menyerahkan memorandum tersebut untuk disampaikan kepada pengetahuan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Memorandum berkenaan diserahkan oleh wakil tersebut, Roslei Kamisan, 60, dan diterima oleh wakil pihak Istana Hinggap, dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.
“Sebagai rakyat kami sangat terkejut dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dengan sengaja dan terancang menderhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan sepenuhnya di Parlimen.
“Kami juga kesal apabila pembatalan Ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan belum lagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Tindakan begini adalah merupakan satu bentuk penderhakaan bahkan bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, Roslei berkata, pihak GBMRM memohon agar Al-Sultan Abdullah memastikan proses perlantikan Perdana Menteri baharu melalui sistem sokongan majoriti di Parlimen, bersesuaian dengan prinsip sebuah negara demokrasi berparlimen.
“Sebarang bentuk manipulasi politik tidak bermoral dalam perlantikan Perdana Menteri mesti dipastikan tidak berlaku lagi.
“Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen akan mampu membawa Malaysia keluar dari kemelut politik, ekonomi, sosial dan kesihatan dalam masa terpantas,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE