PUTRAJAYA: Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak berhak dan tidak sewajarnya mengubah ketetapan diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebagai kuasa tertinggi parti berdasarkan peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO.
Bercakap kepada Utusan Online, pengamal undang-undang, Datuk Adnan Seman berkata, kebenaran pada Fasal 9.1 (Perlembagaan) hanya memberikan hak kepada MT untuk mengambil sebarang langkah bagi pihak PAU pada masa ketiadaannya.
Menurut beliau, ia bermaksud berkuasa penuh terhadap perkara yang tidak diputuskan di Perhimpunan Agung dengan syarat ia hendaklah dimaklumkan kepada Perhimpunan Agung.
Menurut beliau, Fasal 32 pula hanyalah terpakai jika ada perselisihan dari segi tafsiran, justeru adakah ia ditafsirkan walaupun usul dan ketetapan sudah diluluskan dan diputuskan para perwakilan dari seluruh negara di Perhimpunan Agung UMNO masih boleh dibatalkan dan diubah oleh MT.
“Jika MT memutuskan sedemikian, maka sebagai ahli parti saya akur dan jelaslah pada akhirnya ketetapan Perhimpunan Agung bukanlah muktamad, sebaliknya MT adalah kuasa tertinggi parti dan bukannya Perhimpunan Agung.
“Adakah ini niat yang dimaksudkan dengan pengubalan Perlembagaan UMNO ini? Jika begitu tidak perlulah Perhimpunan Agung membuat apa-apa usul, membahaskan dan meluluskan usul kerana ia boleh diubah oleh MT.
“Adakah mandat dan ketetapan para perwakilan yang mewakili suara akar umbi dan parti tidak wajar dihormati oleh MT?” katanya di sini semalam.
Semalam, sebahagian ahli Parlimen UMNO menolak gesaan presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana menyifatkan sekarang bukan masa sesuai berpolitik, sebaliknya usaha menangani pandemik Covid-19 lebih utama.
UMNO sebelum itu juga pernah mengingatkan parti akan keluar daripada PN pada 1 Ogos ini dengan mendakwa keputusan tersebut telah dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung, sedangkan dalam Perhimpunan Agung pada Mac lalu, ketetapan dibuat ialah tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU-15 dan kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
Adnan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak berkata, ketetapan yang dibuat di Perhimpunan Agung 2019 juga menetapkan UMNO tidak akan sekali-kali berkompromi untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menubuhkan kerajaan daripada pintu belakang.
Sebaliknya, ketetapan dibuat dengan menyerahkan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu juga telah dilanggar dan diubah.
“Bagi saya ini tidak wajar berlaku. Ketetapan Perhimpunan Agung perlu dihormati.
“Kita boleh berdebat akan kesan negatif atau positif keberadaan kita dalam kerajaan PN ini yang ditubuhkan dengan pengubahan ketetapan Perhimpunan Agung MT pada 11 Mac 2020, namun ia tidak dapat mengubah apa-apa lagi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan ketetapan Perhimpunan Agung, tidak juga dinyatakan bilakah sepatutnya penarikan sokongan kepada Perdana Menteri bagi menyebabkan pembubaran Parlimen, sebaliknya ketetapan adalah agar PRU-15 diadakan segera.
Beliau mempersoalkan, adakah dengan penarikan sokongan ahli-ahli Parlimen BN kepada Perdana Menteri dan kerajaan PN akan mengakibatkan Parlimen dibubarkan dan PRU-15 diadakan?
Katanya, atau ia akan mengakibatkan kerajaan baharu dibentuk dan ia sekali lagi melanggar ketetapan Perhimpunan Agung?
“Ketika ini Ordinan Darurat masih berkuat kuasa . Bolehkah PRU-15 diadakan dalam bulan Ogos atau September ketika rakyat masih berdepan Covid-19 dan keadaan ekonomi yang teruk? Adakah seorang pemimpin UMNO/BN mampu diangkat menjadi Perdana Menteri tanpa melalui PRU-15?
“Saya amat berharap agar MT dan ahli-ahli Parlimen UMNO/BN menghormati ketetapan Perhimpunan Agung dalam membuat keputusan menetapkan masa yang paling sesuai menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan PN bagi memastikan pada akhirnya UMNO mengambil keputusan penting untuk rakyat dan bukannya atas kepentingan mana-mana pemimpin bagi menyerahkan semula mandat kepada rakyat dengan diadakan PRU-15,” katanya. – UTUSAN ONLINE