PETALING JAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) perlu bebas daripada campur tangan politik dengan keanggotaanya perlulah terdiri dalam kalangan golongan profesional.
Tun Dr. Mahathir Mohamed (Pejuang-Langkawi) berkata, selagi berlaku campur tangan politik di dalam usaha menangani Covid-19, maka segala usaha untuk mengawal virus itu akan gagal.
Katanya, kegagalan kerajaan untuk mengekang pandemik Covid-19 akibat terlalu banyak keputusan politik sehingga menyebabkan segala perancangan walaupun dilihat baik namun akhirnya tidak berjaya.
“Kita dapati tindakan political decision (keputusan politik) tidak memberi sebarang hasil untuk menangani Covid-19. Misalnya menjemput parti lawan untuk menyertai MPN, ini adalah tindakan politik yang akan tidak memberi sebarang hasil.
“Sepatutnya perlu wujud satu badan profesional yang dianggotai pakar kesihatan, pakar ekonomi dan golongan profesional. Walaupun ahli-ahli politik bijak belaka, tetapi mereka kurang arif mengekang Covid-19 dan selalu mengambil keputusan untuk mencari publisiti atau ‘political mileage’ untuk kepentingan masing-masing,” katanya dalam Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.
Dr. Mahathir justeru mengesa MPN perlu dianggotai selain ahli politik dan wajar melibatkan golongan profesional di dalam membawa keluar negara daripada situasi Covid-19.
Katanya, walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk menangani Covid-19, namun ia tidak berjaya apabila setiap hari terus mencatatkan peningkatan kes sehingga merekodkan lebih 17,000 kes baru-baru ini.
Menurut beliau, selain itu punca peningkatan kes adalah kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang bukan sahaja berlaku di tempat kerja malah di rumah ibadah seperti masjid.
“Jadi kita perlu agresif untuk tangani Covid-19 selain memperluaskan saringan ujian calitan (swab test) tetapi perlu menyegerakan suntikan vaksin kepada rakyat.
“Apa saya nampak dalam program vaksin ini terdapat banyak birokrasi sedangkan ramai rakyat mahu mengambil suntikan khususnya mereka tiada telefon bimbit. Kerajaan perlu agresif dalam soal ini dengan memberi peluang kepada suntikan terlebih dahulu dan daftar kemudian,” katanya.










