PONTIAN: Kehadiran maskot Mickey Mouse menceriakan penyampaian bakul makanan anjuran Persatuan Kebajikan Masyarakat Insani Kasih (I Kasih) di Kampung Parit Dato Onn di sini, baru-baru ini.
Pengerusinya, Zuraini Tahir atau dikenali Raymie yang juga vokalis kumpulan Febian’s berkata, kehadiran maskot bersama pasukannya diharap dapat menghiburkan para penerima yang terdiri daripada pelbagai latar belakang terutama kanak-kanak.
Katanya, seramai 18 orang menerima barangan keperluan harian sebagaimana yang disenaraikan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung itu berdasarkan kepada kriteria ditetapkan.
“I Kasih mempunyai keahlian 78 orang yang bergerak ke seluruh Johor sebagai satu tanggungjawab sosial bagi membantu golongan yang memerlukan termasuk asnaf, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan lain-lain.
“Idea membawa bersama maskot sepanjang penyampaian adalah bagi memberi sedikit kegembiraan terutama kanak-kanak yang mungkin sudah terkurung di rumah dalam tempoh yang lama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut Zuraini, setakat ini pihaknya tidak menerima sumbangan atau dana daripada mana-mana pihak, namun kesepakatan mereka menggerakkan I Kasih dengan aktiviti penyampaian sumbangan setiap bulan.
“Ada dalam kalangan ahli kami menyumbang serendah RM4 sehingga RM2,000 yang boleh digunakan bagi membeli pelbagai barangan termasuk ikan, sayur dan daging jika ada keperluan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (8) Mukim Api-Api, Zakaria Sanusi berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti I Kasih kerana dapat membantu meringankan bebanan mereka yang memerlukannya.
Katanya, ada penerima yang terhad pergerakannya kerana dalam keadaan uzur atau tiada pekerjaan kerana diberhentikan kerja atau hilang sumber pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. – UTUSAN ONLINE










