PETALING JAYA: “Ustaz Ebit Lew, Caprice dan Tuan Nadir (Nadir al-Nuri), mereka adalah orang yang hebat-hebat”.
Itu tulis Hafiz Mahamad, personaliti media sosial dan usahawan mengenai ketiga-tiga individu berkenaan.
Menurut Hafiz, banyak sangat kebaikan yang mereka telah buat dan kuat dalam menjalankan tanggungjawab.

“Ramai orang terbantu daripada usaha mereka sebelum ini termasuklah diri saya sendiri. Jom kita lihat kebaikan mereka, Ustaz Ebit Lew pernah bantu team saya di Perak, team saya kehilangan suami dan dua orang anak disebabkan kemalangan. Terhutang budi saya dekat Ustaz.
“Caprice antara sahabat yang saya dapatkan nasihat dulu, sedikit sebanyak apa saya ada hari ini saya gunakan nasihat beliau.
“Nadir, Ya Allah, besar bukan pengorbanan dia untuk bumi Palestin? Kuat sangat dia untuk menetap di sana bantu saudara kita di bumi Allah,” katanya.
Beliau berkata: “Pegawai Ustaz Ebit Lew, saya tengok live dia, hebat dia. Dah bertahun kerja dengan ustaz, pasti banyak ilmu dia dan satu hari nanti kita dapat rasa manfaat dari ilmu dia.
“Redo, sahabat yang belajar di Mesir. Alhamdulilah ilmu dia nanti pasti banyak manfaat untuk kita nanti di Malaysia”.
Jelas Hafiz, kita ingat kebaikan-kebaikan mereka dan insya-Allah kita elak perasaan yang bukan-bukan.
“Lumrah manusia, 1,000 kebaikan akan hilang disebabkan satu keburukan atau kesalahan. Untuk Allah, 1,000 kesalahan boleh diampun disebabkan satu kebaikan. Kita ingat kebaikan-kebaikan mereka.
“Satu hari nanti kalau ada ahli keluarga, sahabat kita yang susah dan kita terlepas pandang, insya-Allah mungkin mereka yang di atas ini akan hadir untuk membantu. Kita sokong dan doakan mereka selalu,” katanya.