Bunuh diri adalah antara 10 penyebab utama kematian di seluruh dunia sejak sebelum kemunculan wabak SARS dan Covid-19 lagi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira satu juta orang mati akibat bunuh diri setiap tahun. Di peringkat global, kajian mendapati setiap 40 saat akan ada seorang mati disebabkan bunuh diri. Pandemik Covid-19 mengeruhkan lagi keadaan yang mana angka kes kematian disebabkan bunuh diri terus melonjak di tahap membimbangkan.
Kajian yang dijalankan oleh Persatuan Psikologi Amerika (APA) di Amerika Syarikat (AS) mendapati 78 peratus rakyat dilaporkan mengalami rasa tertekan dalam hidup susulan pandemik Covid-19. Sebenarnya, isu bunuh diri ini awal lagi berlaku di AS ketika negara itu bergelumang dengan pandemik influenza pada 1918.
Di Jepun, dianggarkan sebanyak 20 000 kes bunuh diri direkodkan dalam masa setahun dan kebanyakannya berpunca daripada kehilangan pekerjaan.
Peningkatan kes keganasan rumah tangga berlaku di China, AS, Brazil, Australia dan New Zealand dan perkara ini menyebabkan ramai dalam kalangan wanita melakukan percubaan membunuh diri.
Di Malaysia, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, banyak kes bunuh diri dilaporkan dek kerana tribulasi kehidupan yang melanda dalam diri masing-masing.
Tiga bulan pertama tahun ini sahaja menyaksikan sebanyak 366 kes bunuh diri dilaporkan kepada pihak polis. Di Pulau Pinang, terdapat sekurang-kurangnya 10 orang membunuh diri dalam masa sebulan.
Bunuh diri ini berkait rapat dengan masalah kesihatan mental akibat kemurungan berpanjangan. Kurangnya kesedaran mengenai penyakit mental adalah cabaran utama dalam mendapatkan rawatan.
Dianggarkan hanya 20 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental mendapatkan rawatan secara profesional di pusat kesihatan.
Stigma sosial dan kurangnya kesedaran mengenai masalah kesihatan mental menjadi penghalang utama dalam mengatasi masalah ini. Ada juga dalam rakyat Malaysia yang segan untuk berjumpa dengan pakar psikiatri kerana takut dilabel sebagai ‘gila’.
Di Malaysia, kajian mendapati kawalan pergerakan yang menyebabkan seseorang itu perlu duduk di rumah dalam tempoh masa lama boleh memberi tekanan kepada individu berkenaan. Selain itu, penutupan premis perniagaan, sekolah dan tempat-tempat ibadah telah mengubah kehidupan seseorang secara drastik.
Dalam tempoh pelaksanaan PKP ini, ramai hilang pekerjaan dan pendapatan. Banyak premis perniagaan terpaksa ditutup dan ada majikan kehabisan wang simpanan untuk membayar gaji pekerja.
Pekerja yang berusia dan telah diberhentikan pula hilang punca pencarian kerana begitu sukar untuk mencari pekerjaan baharu. Pergaduhan yang seringkali berlaku dalam kalangan ahli keluarga menambahkan kesengsaraan. Perkara-perkara yang dinyatakan ini telah memberi tekanan emosi dan menyebabkan seseorang itu mengambil satu tindakan di luar jangkaan seperti membunuh diri.
Baru-baru ini, timbul pula isu yang mana ada pihak seolah-olah memperlekehkan usaha rakyat untuk membantu pihak yang tidak bernasib baik melalui kempen kibarkan bendera putih.
Pada pendapat saya, kempen tersebut melambangkan solidariti yang ditunjukkan oleh komuniti setempat untuk sama-sama mendepani cabaran pandemik ini.
Ramai yang terkesan dengan pandemik ini dan terpaksa ikat perut demi meneruskan kelangsungan hidup. Maka kempen kibarkan bendera putih seperti ini sedikit sebanyak meringankan beban rakyat.
Rakyat penat dengan apa yang berlaku. Namun, kehidupan perlu diteruskan dan ramai yang menanti langkah kerajaan seterusnya dalam menurunkan angka kes Covid-19.
Aspek kesihatan mental ini seringkali dipandang remeh oleh masyarakat kita kerana ia tidak terzahir secara fizikal. Sokongan moral sangat diperlukan dalam keadaan masyarakat dihimpit dek tekanan hidup akibat pandemik Covid-19.
Kerajaan juga perlu mempergiatkan penerangan dalam media massa dan sosial agar rakyat sentiasa cakna mengenai isu ini. Stigma bahawa seorang itu boleh dicop gila jika mendapatkan rawatan di pusat perubatan perlu ditangani sebaiknya.
Pelbagai agensi dan pihak seperti para pembuat dasar, pakar psikiatri, psikologi dan pengamal perubatan perlu digembleng agar perkhidmatan intervensi dapat dijalankan untuk mencegah kes bunuh diri.
Kerjasama sektor awam dan swasta perlu disepadukan dalam memberikan perkhidmatan bantuan psikologi dan psikiatri kepada pesakit. Perkhidmatan tele-kesihatan perlu diperkenalkan dan diperkukuhkan dalam memberikan rakyat akses kepada bimbingan kesihatan mental.
Para pesakit yang pernah mengalami masalah kesihatan mental dan pernah membuat percubaan membunuh diri perlu diberikan perhatian khusus agar mereka tidak kembali mengulanginya. Strategi pelaksanaan penuh PKP perlu diperhalusi segera dan dijalankan dengan menyeluruh agar rantaian penularan Covid-19 dapat disekat.
Semua ini harus dilakukan secara tuntas demi mencapai hasrat kerajaan dalam mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang mana indikasi modal sosial melalui aspek kesejahteraan rakyat dijadikan salah satu matlamat pelan teras strategik bagi menyeimbangi aspek jasmani, emosi dan rohani rakyat.
Hentikan permainan politik ‘Tom and Jerry’. Jangan jadi sebagai tikus membaiki labu dan segeralah menyelusuri denyut nadi rakyat kerana meranapkan negara lebih mudah daripada membinanya.
Penulis ialah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.









