SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menggariskan lima prinsip utama dalam memastikan Shah Alam menjadi Bandar Raya Mampan
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang membentangkan Shah Alam ‘Voluntary Local Review’ (VLR) 2021, iaitu mekanisma pelaporan yang membolehkan MBSA bersama pemegang taruh memberikan komitmen dalam memastikan Shah Alam menjadi Bandar Raya Mampan melalui Agenda 2030.
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pembentangan penyediaan laporan khas Shah Alam Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) VLR yang diadakan secara maya itu dilakukan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor bersama beberapa pemimpin bandar utama terpilih oleh Forum Politik Peringkat Tinggi (HLPF) SDGs 2021.
“Shah Alam VLR 2021 ini memberi fokus kepada 5 prinsip utama. Prinsip yang pertama adalah pembangunan masyarakat yang berilmu dan meningkatkan keupayaan tampungan masyarakat, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahrin berkata, HLPF SDGs 2021 adalah anjuran Majlis Ekonomi Dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) baru-baru ini.
Mengulas lanjut Shahrin berkata, prinsip kedua Shah Alam VLR 2021 ini adalah melihat kepada pengekalan kemampanan alam melalui pemeliharaan, pemuliharaan dan perlindungan kepada ekosistem alam.
Katanya lagi, prinsip ketiga adalah penglibatan komuniti dalam membentuk masyarakat yang berdaya saing, berdikari dan mampan.
“Prinsip ke empat adalah keamanan melalui pembangunan dan kesejahteraan ke arah bandar inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan dan yang kelima adalah perkongsian pintar iaitu merealisasikan transformasi dengan integrasi antara wilayah,”katanya.
Beliau menambah,penyediaan laporan VLR tersebut, akan mengangkat kejayaan Shah Alam dalam pertumbuhan ekonomi, penjagaan kesihatan awam, kelestarian alam sekitar, keselamatan awam dan hubungan antarabangsa.
Ujarnya lagi, Shah Alam juga merupakan bandar pertama di Malaysia yang menyertai rangkaian Malaysia SDGs Cities yang diselaraskan oleh Urbanice Malaysia melalui pengukuran sasaran dan penunjuk SDGs yang disasarkan sehingga 2030. – UTUSAN ONLINE










