PENDANG: Malaysia antara negara terbaik di dunia dengan mengatasi beberapa negara maju dalam mengawal pandemik Covid-19.
Timbalan Menteri Sumber Manusia. Datuk Awang Hashim berkata, kesungguhan kerajaan dalam mengekang wabak berkenaan terbukti apabila membelanjakan berpuluh bilion ringgit untuk menjamin kesihatan rakyat.
Menurutnya, dakwaan kononnya kerajaan gagal menangani pandemik Covid-19 seperti dicanang beberapa pihak kebelakangan ini sekadar cakap-cakap politik yang sama sekali tidak menggambarkan realiti sebenar dalam negara.
“Kalau mereka kata kerajaan ini gagal, apa indikatornya? Bukti sebenar menunjukkan kerajaan ini tidak gagal dengan kerajaan membelanjakan berpuluh bilion bagi menangani pandemik ini.
“Anda boleh banding dan semak dengan negara-negara lain seperti India, Indonesia, Itali malah Amerika Syarikat sekali pun. Kalau anda buat semakan, Malaysia adalah yang terbaik,” katanya selepas menyempurnakan pengagihan bakul makanan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) Parlimen Pendang di Pusat Khidmat Wakil Rakyat, Kampung Gajah Mati di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE










