'Malam pun orang datang minta bantuan' - Utusan Malaysia

‘Malam pun orang datang minta bantuan’

M. ULAGANATHAN menyusun bekalan bank makanan di depan rumahnya di Ujong Pasir, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Sepasang suami isteri bersama seorang anak kecil menaiki motosikal buruk sanggup ke rumah pada pukul 8.30 malam, semata-mata mahu mendapatkan bantuan bekalan makanan.”

Itu antara pengalaman tidak dapat dilupakan Pengerusi Kelab Kebajikan dan Rekreasi Ujong Pasir Melaka, M. Ulaganathan, 51, yang mewujudkan bank makanan di rumahnya bermula 8 Julai lalu.

Katanya, ramai  yang datang dalam keadaan kasihan termasuk berjalan menggunakan tongkat untuk mendapatkan bantuan makanan pada waktu sukar ini.

“Dalam masa dua hari sahaja, seramai 45 orang menerima manfaat. Sambutan diterima sangat menggalakkan sehingga saya terpaksa menambah bekalan setiap hari.

“Setiap pek barangan yang diagihkan berjumlah hampir RM120 setiap keluarga. Antara barangan yang diberikan seperti beras, minyak masak, tepung gandum, sardin, susu, telur dan biskut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ulaganathan, dia memperuntukkan hampir RM2,500 duit simpanan sendiri untuk menyediakan bekalan makanan, selain menerima sedikit sumbangan daripada dua rakannya.

“Apa yang saya beli untuk kegunaan rumah, itu jugalah yang saya berikan kepada masyarakat. Selagi saya mampu, saya akan membantu tanpa mengira latar belakang mereka.

“Sudah menjadi keinginan saya sebagai pesara tentera membantu sesiapa yang memerlukan. Dulu saya berkhidmat untuk negara selama 22 tahun, selepas pencen saya menabur bakti pada masyarakat pula,” jelasnya.

Dia menasihatkan orang ramai yang terdesak supaya segera meminta bantuan daripada pihak sepatutnya dan bukannya mengambil tindakan  bukan-bukan.

Katanya, ini kerana banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang prihatin dengan nasib mereka serta bersedia membantu pada bila-bila masa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN