LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan menjadi saksi kes yang melibatkan pecah amanah dan salah guna dana kempen parti politik didakwa melibatkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurutnya, beliau akan memberi kerjasama tersebut sekiranya dipanggil sebagai saksi pembelaan.
“Kalau saya dijemput sebagai saksi, saya pergilah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi penyerahan bakul permai kepada wakil komuniti di Pusat Khidmat Ahli Parlimen di sini hari ini.
Syed Saddiq hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyalahgunakan dana Bersatu bernilai RM1.12 juta.
Ahli Parlimen Muar itu mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di depan hakim, Azura Alwi.
Menurut pertuduhan pertama, Syed Saddiq dituduh menyalahgunakan wang Bersatu itu melalui cek CIMB Bank, di CIMB Bank, KL Sentral, Kuala Lumpur, pada 6 Mac tahun lalu.
Pertuduhan kedua mula mendakwa Syed Saddiq secara curang menyalahgunakan dana yang dikumpulkan Armada bernilai RM120,000 yang sepatutnya untuk pilihan raya umum (PRU) lalu.
Pada masa sama, Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, keputusan untuk mendakwa Ahli Parlimen Muar itu pada hari ini disifatkan ‘terlalu lambat’ memandangkan Syed Saddiq telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes terbabit beberapa kali sebelum ini.
“Entah macam mana secara kebetulan, bila kerajaan (Perikatan Nasional )menghadapi masalah dan perlu kepada sokongan, (Syed) Saddiq dia tak sokong kerajaan, banyak kali dia diminta supaya sokong kerajaan, (sekiranya) sokong kerajaan tak ada masalah.
“Ada juga orang Armada yang kena panggil dan mereka sokong kerajaan, tak ada masalah (atau) apa-apa berlaku selepas itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan tindakan yang dilakukan ke atas bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu merupakan taktik ‘pembunuhan’ karakter dalam politik.
Ini kerana, Syed Saddiq menurutnya adalah seorang pemimpin yang memiliki karisma kepemimpinan serta mempunyai ramai pengikut khususnya dalam kalangan anak muda.
“Memang begitu, mereka (pihak kerajaan) nampak Syed Saddiq ni prominent (mempunyai pengaruh) sikit, dia berjaya kumpul orang terutama daripada golongan muda, jadi Syed Saddiq ni orang nak bunuh dia punya politik awal-awal lagi pasal nampak ada bakat,” katanya. – UTUSAN











