Mahathir kagum Tok Pora kekal sihat pada usia 106 tahun 

Mahathir kagum Tok Pora kekal sihat pada usia 106 tahun 

DR. MAHATHIR Mohamad (kanan) dan berbual mesra bersama Sepora Amin selepas menerima suntikan vaksin dos kedua pada Program Outreach Imunisasi Covid-19 di Dewan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Pulau Tuba, Langkawi hari ini. - FOTO/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyambut hari lahirnya ke-96 tahun hari ini mengagumi penduduk tertua di Pulau Tuba di sini, Sepora Amin yang kekal sihat walaupun usianya telah mencecah 106 tahun.

Beliau berkata, beliau berbangga Sepora yang juga dikenali sebagai Tok Pora mengamalkan pemakanan sihat dan rajin melakukan kerja-kerja kampung yang mengeluarkan peluh.

“Saya pun belum pasti mencapai umur yang panjang seperti Tok Pora,” katanya secara berseloroh ketika melihat Sepora menerima suntikan vaksin pada Program Outreach Imunisasi Covid-19 di Dewan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Pulau Tuba, di sini hari ini.

Turut hadir isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Pada program tersebut seramai 204 penduduk di pulau itu menerima suntikan vaksin dos kedua.

Sementara itu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut berkongsi tips amalan pemakanan sihat berkata, beliau menjaga kesihatannya dengan mengawal jumlah makanan yang diambilnya.

Tambahnya, beliau turut mengawal pemakanannya dengan memilih menu yang lebih sihat dengan mengelakkan makanan bergoreng.

“Saya makan semua, tapi saya makan sedikit sahaja, kalau makan nasi banyak, badan naik, saya nak jaga jangan bagi badan gemuk.

“Selagi saya boleh bergerak, saya akan bagilah apa sumbangan yang saya boleh buat,” katanya.

Mahathir yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua kali itu berkata, beliau bersyukur kerana masih mampu berkhidmat kepada negara walaupun usianya sudah hampir mencecah satu abad.

“Saya bersyukur kerana masih boleh berkhidmat, walaupun umur dah lebih sedikit,” ujarnya.

Beliau yang dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar dilantik sebagai Perdana Menteri keempat pada 16 Julai 1981 hingga 30 Oktober 2003 dan Perdana Menteri ketujuh pada 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.

Mahathir lulus sebagai doktor pada 1953 dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar.

Beliau mula berkecimpung dalam bidang politik pada 1964 apabila berjaya memenangi kerusi Kota Setar pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1964. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN