Lima sindiket ah long tumpas, 84 individu ditahan  - Utusan Malaysia

Lima sindiket ah long tumpas, 84 individu ditahan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima sindiket yang aktif menjalankan kegiatan ah long sejak tiga tahun lalu tumpas selepas 84 individu ditahan dalam operasi khas dikenali OP Vulture 1/2021 yang dilancarkan di seluruh negara.

Kesemua mereka terdiri daripada warga tempatan itu adalah ahli sindiket ah long dikenali Geng 24 yang aktif di Pulau Pinang, diikuti Geng Ah Meng (Kuala Lumpur), Geng Andy (Kelantan), Gneg David (Sabah) dan Geng Ah Loi (Sarawak).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, siasatan awal mendapati sindiket-sindiket itui beroperasi semenjak pertengahan  2018.

Kata beliau, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di aplikasi media sosial seperti Facebook, WeChat dan WhatsApp dengan menyasarkan golongan peniaga, kakitangan kerajaan serta swasta yang terjejas.

Kata beliau, sindiket berkenaan menjanjikan faedah pinjaman yang antara 10 hingga 15 peratus bagi tempoh seminggu.

“Apabila peminjam gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman, ahli sindiket memberi ancaman serta ugutan kepada mangsa sama ada melalui telefon atau melalui perbuatan khianat yang dilakukan di rumah mahupun tempat kerja mangsa.

“Sindiket juga  berpakat untuk menghubungi peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman dan menawarkan pinjaman baharu bagi menyelesaikan bayaran pinjaman terdahulu.

“Ini bagi membolehkan sindiket meneruskan kontrak dengan peminjam dan memaksa peminjam membuat bayaran berlipat kali ganda menerusi faedah yang dikenakan secara berterusan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Kamarudin, serbuan dua hari itu turut merampas pelbagai barangan seperti 192 kad pengeluaran wang automatik (ATM) pelbagai dokumen seperti buku nota dan kad (139 keping) serta 124 unit telefon bimbit

Turut dirampas, sejumlah wang tunai berjumlah RM45,239, diikuti jam tangan (137 utas), buku akaun (18), Komputer riba (10), set Barang Kemas (7), anak kunci kenderaan (8) dan tin cat minyak berwarna merah dan hitam (5).

“Selain itu, sebanyak 18,264 pemegang kad dan 1,070) risalah pinjaman (1,070) selain poster (720), kad rekod (80), salinan kad pengenalan mangsa (32) dan kereta (21) turut dirampas. 

“Semakan suspek mendapati  beberapa individu yang diberkas mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan kesalahan mengikut Seksyen 302, Seksyen 326 , Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan selain Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Tambah beliau, semua tangkapan disiasat di bawah undang-undang berikut Kesalahan di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) kerana menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen selain Kesalahan di bawah Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) bagi membantu menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dibuat mengikut Kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan keranan memberikan ancaman atau ugutan jenayah selain Kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi melakukan khianat dan Kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata tajam.

“Kita juga akan mendakwa mereka di bawah Kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pembiayaan Keganasan (AMLATPUAA 2001) dan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Kamarudin memberitahu, penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu hingga kini telah menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan. 

Kata beliau, situasi ini mengakibatkan ramai yang kehilangan punca pendapatan sehingga ada yang terpaksa meminjam wang daripada pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long’ bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, sebanyak 508 kes pemberi pinjaman wang tidak berlesen telah disiasat melibatkan jumlah pinjaman RM2,579,677.93. Sejak tempoh tersebut juga, seramai 508 orang yang dipercayai terlibat dengan sindiket ini ditahan.

“Sehubungan itu, JSJK sentiasa membuat pemantauan dan risikan secara berterusan bagi mengesan serta mengenalpasti sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang bergerak aktif di seluruh negara,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya