JERANTUT: Seorang pesara guru, Anuar Rahman, 61, di Felda Sungai Tekam di sini mengisi masa lapangnya dengan memelihara landak raya bagi memastikan haiwan eksotik ini tidak pupus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Anuar berkata, dia memelihara haiwan itu bukan untuk komersial tetapi sebagai hobi kerana seronok melihat kelibat landak raya dalam kandang ketika memberi makan.
“Setelah memperoleh lesen memelihara haiwan eksotik ini daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Temerloh pada 2021 dengan bayaran (lesen) RM20 untuk seekor, saya memperoleh sepasang landak raya daripada seorang rakan yang juga mempunyai hobi sama.
“Saya juga menerima khidmat bimbingan daripada kakitangan Perhilitan sebanyak tiga kali secara berterusan tentang teknik pemeliharaan, makanan, penjagaan kesihatan serta pengurusan kandang bagi jaminan haiwan ini dipelihara dengan sempurna,” katanya di sini semalam.
Menurut Anuar, dia mengeluarkan belanja kira-kira RM200 untuk membina kandang di belakang rumah bagi membolehkan haiwan liar itu hidup berkoloni bebas bergerak secara terkawal.
“Sehingga kini landak raya belaan saya mempunyai tiga ekor anak yang sudah besar. Buat masa ini saya mengasingkan pasangan haiwan ini untuk mengelakkan pembiakan kerana ia sekadar memenuhi hobi dan masa terluang, bukan tujuan komersial.
“Haiwan eksotik itu kurang cerewet kerana ia mempunyai daya tahan tinggi daripada serangan penyakit,” katanya.
Menurutnya, dari segi pemakanan, landak raya antara spesies yang kuat makan dan kebiasaannya dia memberikan pisang, betik, sayur-sayuran serta sengkuang selain kadangkala ‘pelet’.
“Mujurlah saya menanam pokok pisang, betik dan sayur-sayuran di persekitaran rumah dapat menjimatkan kos makanan landak raya ini dan jika perlu berbelanja makanan sudah tentu antara RM200 hingga RM300 sebulan untuk enam ekor haiwan ini,” katanya.- UTUSAN










