PETALING JAYA: Tindakan memecat pengendali skuad bawah 23 (B-23) negara, Juan Torres Garrido bukan penyelesaian terbaik untuk skuad muda negara.
Sebaliknya, pengendali dari Sepanyol itu perlu diberikan peluang bagi memperbaiki prestasi skuad B-23 susulan prestasi hambar di Piala Asia B-23.
Biarpun ramai yang mengkritik dan mendesak Garrido dipecat, bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan mempunyai pandangan berbeza.
“Dengan keadaan semasa, bukan mudah untuk tukar-tukar (jurulatih) dalam masa yang singkat. Baik dikekalkan dahulu dengan apa yang ada, kemudian baharu fikir apa Tindakan selanjutnya.
“Hukuman tidak boleh diletakkan di atas bahu jurulatih semata-mata. Kalau ambil baru sekali pun belum tentu jurulatih baru itu boleh memberi kejayaan kepada pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini. semalam.
Skuad B-23 mengharungi kejohanan Piala Asia B-23 tanpa mengutip sebarang mata selepas kalah kesemua tiga perlawanan menduduki tangga tercorot Kumpulan D.
Mengulas lanjut mengenai prestasi pasukan negara, Wan Jamak yang pernah membimbing skuad senior pada 1996 berkata beliau masih menaruh kepercayaan terhadap kemampuan anak-anak buah Garrido.
“Saya masih percaya apa yang berlaku sudah pasti ada hikmahnya. Ada masa kita di atas dan ada masa kita di Bawah. Apa yang berlaku di Qatar pasti mendewasakan pemain dan jurulatih,” katanya lagi.-UTUSAN










