Lembu korban Perak bebas jangkitan LSD - Utusan Malaysia

Lembu korban Perak bebas jangkitan LSD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Umat Islam di negeri ini tidak perlu gusar tentang kesihatan lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha kerana haiwai ternakan itu bebas  jangkitan penyakit kulit kental (LSD).

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Bekalan Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, semua lembu yang dipindahkan dari ladang ternakan kepada pihak yang mahu mengadakan majlis korban, terlebih dahulu diperiksa  oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebelum diedarkan.

Menurut beliau, ini bermakna tiada lembu korban berisiko dijangkiti wabak LSD .

“JPV tidak sewenang-wenangnya membenarkan lembu dijangkiti LSD dijual atau dipindahkan ke tempat lain untuk tujuan korban.

“Surau dan masjid di negeri ini sama sekali tidak akan menerima lembu korban yang mereka terima tanpa surat pengesahan JPV,” katanya  selepas melawat Pasar Segar Terkawal (PST) di sini hari ini.

Menurut Razman, malah ada surau dan masjid di Bagan Serai yang enggan menerima lembu yang dihantar ke tempat mereka gara -gara pemandu lori terlupa untuk membawa dan mengemukakan  surat pengesahan JPV semasa membuat penghantaran haiwan tersebut.

“Ini menunjukkan masyarakat cakna tentang perkara-perkara sebegini dan mengambil berat keadaan ternakan yang mahu dibuat korban,” katanya.

Sementara itu, Razman berkata, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol menyediakan 17 ekor lembu untuk korban pada  AidilAdha tahun ini.

Surau Al-Faizin, Taman Serai Permai di sini pula akan menyembelih 10 ekor lembu korban. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN