PETALING JAYA: Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan melabel Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard sebagai pengkhianat kepada perjuangan parti.
BPN Bersatu Negeri Sembilan bersama tujuh ketua bahagian berkata, kepemimpinan tertinggi perlu mengambil tindakan tegas terhadap semua individu termasuk Chegubard yang mengeluarkan kenyataan atau melakukan tindakan memburukkan imej parti, menjejaskan keyakinan rakyat serta menggugat kesatuan dalaman.
Katanya, kepimpinan negeri memandang serius kenyataan berulang kali yang dibuat Chegubard secara terbuka mengkritik Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta parti.
“Ini kerana tindakannya kini bukan lagi untuk memperkukuh Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mencetuskan kekacauan dalaman serta mencalar kepemimpinan parti secara terbuka.
“Pada masa sama, Bersatu Negeri Sembilan menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan kepemimpinan parti, memperkukuh jentera akar umbi serta menumpukan sepenuh tenaga bagi berhadapan dengan musuh sebenar iaitu kerajaan yang gagal menunaikan harapan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Kata kenyataan itu, ketika kepemimpinan dan ahli-ahli Bersatu Negeri Sembilan berusaha keras turun ke lapangan mendekati rakyat, mengukuhkan jentera serta memenangi semula kepercayaan mereka, Chegubad memilih untuk terus menyerang parti dan Presiden.
Katanya, ia sekali gus telah melemahkan usaha kolektif di peringkat akar umbi.
“Fokus utama parti ketika ini adalah untuk memperkukuh peranan sebagai pembangkang yang kuat, berprinsip dan berkesan dalam menegur serta melawan kegagalan kerajaan demi mempertahankan kepentingan rakyat dan negara.
“Parti tidak seharusnya terperangkap dengan polemik dalaman yang disengajakan sehingga melemahkan kekuatan sendiri,” katanya. – UTUSAN










